Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2024 yang menuntut Israel menghentikan penjajahan ke atas Palestin dalam setahun perlu dilaksanakan segera tanpa bertangguh.
Gesaan itu dilontarkan Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) yang menganggap resolusi ini sebagai langkah penting dalam usaha global untuk keadilan Palestin, terutamanya di tengah ketegangan yang meningkat selepas konflik di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
“IAIS Malaysia menekankan perlunya tindakan tegas daripada PBB.
Resolusi ini kini bersifat tidak mengikat dan memerlukan langkah susulan agar tidak menjadi dokumen tanpa makna.
“Resolusi ini mencerminkan kehendak masyarakat global untuk keadilan, dengan setiap undi di UNGA mempunyai berat yang sama, berbeza dengan dinamika kuasa di Majlis Keselamatan PBB,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Terdahulu, resolusi UNGA 2024 berjudul “Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” mendapat sokongan 124 negara.
Proses penggubalan resolusi dimulakan oleh Negara Palestin dan diluluskan oleh Jawatankuasa Khas Politik pada November 2022.
Keputusan ICJ pada Julai 2024 mengesahkan bahawa penjajahan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan menuntut ganti rugi kepada rakyat Palestin.
Resolusi ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-42 pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila, di mana lebih 3,500 pelarian Palestin terkorban dan ia menjadi pengiktirafan kepada penderitaan rakyat Palestin selama beberapa dekad.
Menurut IAIS lagi, Israel dijangka akan terus mengabaikan resolusi ini, sebagaimana sebelumnya.
“PBB perlu bertindak tegas untuk memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menekan UNSC untuk menguatkuasakan resolusi.
“Sekiranya Israel tidak mematuhi, sekatan dan tindakan drastik seperti membatalkan keanggotaan Israel dalam PBB harus dipertimbangkan, mengingat langkah serupa terhadap rejim apartheid di Afrika Selatan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu IAIS Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa agar berusaha untuk menamatkan penjajahan di Palestin.
Menueut mereka, rakyat Palestin berhak mendapatkan keadilan, dan resolusi UNGA ini hanya akan berkesan dengan tindakan nyata dan berkesinambungan.