KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Reformasi Kesihatan MADANI kini digerakkan menerusi lima Kluster Strategik yang bertujuan memperkukuh sistem penyampaian kesihatan negara serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih adil dan mampan untuk warga kesihatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau, selepas dua tahun pelaksanaan, reformasi ini merupakan usaha pembaharuan asas bagi memastikan sistem kesihatan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa depan, bersifat progresif dan berdaya tahan.
Langkah tersebut dilaksanakan susulan pelbagai isu struktur yang membelenggu sistem kesihatan sejak sekian lama, termasuk kekangan pembiayaan, kesesakan fasiliti kesihatan, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta keletihan tenaga kerja.
“Kita sedang melakukan peralihan paradigma daripada rawatan penyakit semata-mata kepada penjagaan kesihatan yang menekankan pencegahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly menjelaskan, kluster pertama memberi tumpuan kepada reformasi institusi dan tadbir urus dengan usaha menyusun semula ekosistem Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar lebih jelas fungsi, cekap dan bertanggungjawab.
Beliau berkata penubuhan entiti strategik seperti Bahagian Kesihatan Digital dan Pusat Keselamatan Makanan Negara (NCFS) bertujuan memperkukuh keupayaan institusi, meningkatkan kebertanggungjawaban serta mempercepat pelaksanaan dasar kesihatan.
Bagi kluster kedua, iaitu reformasi penyampaian perkhidmatan, KKM sedang melaksanakan perubahan dalam kaedah perkhidmatan melalui pengoptimuman sumber sedia ada serta pemodenan fasiliti kesihatan.
“Walaupun integrasi pelbagai sistem data merupakan cabaran teknikal yang besar, kita kekal komited melaksanakan pendigitalan rekod perubatan (EMR) dan sistem janji temu digital sebagai teras transformasi perkhidmatan,” katanya.
Usaha ini, katanya, bertujuan mengurangkan tekanan di hospital yang sesak serta memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, moden dan mesra rakyat dapat diakses dengan lebih meluas.
Kluster ketiga melibatkan pembaharuan sumber manusia kesihatan, termasuk pembetulan struktur perjawatan melalui pindaan Akta Perubatan 1971 dan pelaksanaan lantikan tetap terbesar dalam sejarah terkini sektor kesihatan.
“Ia mungkin bukan jalan mudah, namun langkah ini perlu untuk menamatkan kemelut berpanjangan serta membina sistem perjawatan yang lebih stabil, adil dan bermaruah demi melindungi aset terpenting negara iaitu petugas kesihatan,” katanya.
Bagi kluster keempat, reformasi pembiayaan kesihatan memberi fokus kepada kelangsungan fiskal sistem kesihatan awam tanpa menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan saksama.
Melalui kerangka RESET, beliau berkata Malaysia sedang beralih daripada pembiayaan berasaskan kos rawatan kepada pendekatan berasaskan nilai kesihatan, bagi memastikan setiap perbelanjaan awam memberi impak kesihatan maksimum kepada rakyat.
Kluster kelima pula menyentuh aspek kesihatan awam, keselamatan dan pencegahan, dengan KKM mengambil pendekatan lebih tegas terhadap faktor risiko utama seperti pengambilan gula berlebihan, tabiat merokok dan gaya hidup tidak aktif.
Pendekatan itu disokong oleh penguatkuasaan undang-undang baharu termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), selain agenda pencegahan nasional yang lebih menyeluruh.
Menjelang tahun 2026, Dzulkefly berkata fokus KKM akan tertumpu kepada pengurusan bakat berasaskan data dan empati, usaha mengurangkan kesesakan fasiliti, pengoptimuman aset sedia ada serta pemerkasaan kesihatan awam melalui pendigitalan menyeluruh.
“Fasa seterusnya memerlukan disiplin pelaksanaan yang tinggi bagi mematangkan reformasi ini, khususnya dalam menghadapi cabaran negara menua dan potensi krisis kesihatan global,” katanya.
Seiring persiapan ke arah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi Persidangan Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) 2026, beliau menegaskan komitmen KKM untuk memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada hasil nyata demi membina sistem kesihatan yang bukan sekadar merawat, tetapi prihatin dan bersedia melindungi masa depan negara.