Realtime website trackingweb stats

Ramai yang pelik macam mana ramai orang boleh ‘taksub’ Abuya, ini sebabnya

Oleh NUR KASIH

Sejak isu GISBH menjadi perhatian masyarakat Malaysia, ramai yang terkejut dengan betapa fanatiknya pengikut Ashaari Muhammad, atau Abuya Ashaari.

Bagi anda yang baru mengenali gerakan pengikut Abuya Ashaari, ikuti perkongsian daripada Azizi Khalid yang menceritakan

perjalanan gerakan ini dari niat asal yang suci sebagai mukmin sejati hingga kepada pertentangan dengan Quran dan Sunnah.

Mengapa boleh terjadi taksub?

Bagi mereka yang baru menyedari isu ini, pasti terkejut melihat sejauh mana orang boleh taksub dengan jemaah ini.

Ramai yang pelik macam mana ramai orang boleh 'taksub' Abuya, ini sebabnya

Namun, taksub ini bukanlah sesuatu yang baru; ia telah terbina selama beberapa dekad.

Gerakan Al-Arqam bermula pada tahun 1968, ketika pengamalan Islam di Malaysia masih pada tahap rendah akibat peninggalan penjajah. Al-Arqam dimulakan dengan pengajian kitab-kitab turath (tradisi) dengan harapan untuk memperbaiki diri dan menjadi mukmin yang baik.

Perbezaan utama Al-Arqam berbanding gerakan lain ialah Abuya Ashaari adalah seorang yang sangat praktikal. Beliau tidak berpuas hati dengan ilmu yang hanya terhad kepada buku, tetapi ingin mengaplikasikannya dalam kehidupan, keluarga, dan masyarakat.

Perkampungan Arqam

Maka, perkampungan Arqam ditubuhkan, di mana ilmu yang dipelajari cuba diterapkan dalam kehidupan seharian, termasuk solat berjemaah, akhlak mulia, dan penjagaan aurat.

Ekonomi dan Pendidikan Arqam

Dengan kehidupan bersama, keperluan untuk ekonomi dan pendidikan timbul. Ini menandakan bermulanya era perniagaan Arqam, dengan niat untuk memastikan makanan yang diambil adalah halal dan tayyib. Semua tenaga, kepakaran, dan bakat daripada ahli-ahli digembleng untuk membina kehidupan Islam yang lengkap.

Anak-anak juga perlu dididik, maka sekolah-sekolah Arqam ditubuhkan berdasarkan kitab-kitab pondok.

Hiburan Arqam

Untuk mengisi keperluan hiburan, kumpulan nasyid ditubuhkan untuk menawarkan hiburan yang membina iman. Arqam menerbitkan majalah, komik, dan buku berkualiti yang mendapat sambutan masyarakat.

Semua ini bertujuan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Arqam sebagai Mukmin Sejati

Dari perkampungan kecil di Sg Penchala, Arqam berkembang ke seluruh negara, bahkan pada era 80-an, ia mula melebarkan sayap ke luar negara. Jemaah ini memberikan kesan positif kepada masyarakat.

Pada peringkat ini, isu mengenai Pemuda Bani Tamim, Imam Mahdi, dan sebagainya belum timbul. Objektif utama adalah untuk hidup sebagai mukmin sejati yang mematuhi syariat.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Arqam menjadikan ahli-ahli semakin menghormati dan menyayangi Ust Ashaari.

PERMULAAN TAKSUB TERHADAP ASHAARI MUHAMMAD

1. Ura-ura Imam Mahdi pada 80-an

Pada awal 80-an, terdapat ura-ura bahawa pengasas Aurad Muhammadiyyah adalah Imam Mahdi yang ghaib dan akan muncul semula. Ini membawa kepada persiapan jemaah untuk menyambut Imam Mahdi. Dalam suasana jemaah yang kukuh, tidaklah menghairankan jika ada yang percaya bahawa inilah jemaah yang akan membawa kegemilangan Islam kali kedua.

2. Mula Era Taksub

Era taksub bermula apabila lirik nasyid Arqam lebih banyak ditulis oleh Ust Ashaari daripada ahli lain. Buku-buku juga lebih memfokuskan kepada kuliah-kuliah Ust Ashaari.

Generasi baru ini dibesarkan dengan budaya Arqam, termasuk makanan, muzik, dan cara berpakaian yang semua terhubung dengan Ust Ashaari.

3. Era ‘Minda Abuya’

Ketika ini, kuliah-kuliah semakin kurang menyentuh kitab-kitab turath dan lebih fokus kepada sajak-sajak Abuya. Pengharaman pada 1994 tidak mengurangkan kesetiaan ahli kepada Abuya, tetapi pengharaman 1997 menyedarkan ramai orang tentang kesesatan jemaah ini.

4. Era Rufaqa’

Di era Rufaqa’, tidak ramai alim ulama’ yang masih mengikuti perjuangan ini. Kealiman dinilai bukan pada ilmu Quran dan Sunnah, tetapi pada siapa yang lebih tahu tentang sajak-sajak Abuya.

5. Era Akal vs Roh pada Awal 2000-an

Awal 2000-an menyaksikan pertentangan antara akal dan roh. Mereka yang banyak berfikir dianggap tidak memiliki roh yang kuat. Sesiapa yang mengikuti arahan pemimpin dianggap memiliki roh yang kuat.

Apabila Abuya mula sakit, pengkultusan terhadapnya meningkat, dan kuliah-kuliah berputar di sekitar kehebatan Abuya, dengan penekanan kepada karamah-kamahnya. Kematian Abuya dikatakan sebagai ghaib, bukan kematian sebenar.

BACA: Patutlah air boleh bertakung dalam pintu kereta, ini 5 lubang yang ramai pemilik kereta tak perasan