Realtime website trackingweb stats

Ramai rupanya anak muda sanggup papa asalkan bergaya, elak terjebak ikuti nasihat pakar kewangan ini

Oleh AHMAD ISMAIL

 

Sebanyak 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri daripada anak muda lantaran tiada ilmu merancang kewangan dan terjebak dengan pelaburan yang menayangkan simbol kekayaan palsu.

Menurut penasihat kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir, pelaburan yang menawarkan pulangan besar dalam tempoh singkat lazimnya tidak boleh dipercayai dan lebih menjurus kepada skim cepat kaya.

“Generasi muda perlu lebih berhati-hati sekiranya ada individu datang menawarkan pelaburan yang didakwa ‘pasti untung’ dan menunjukkan simbol kekayaan palsu seperti kereta dan rumah besar.

“Lebih 10 jutawan yang saya kenal tidak pernah menunjukkan kereta yang mereka miliki, malah mereka berasa ‘lebih mahal’ tanpa perlu menunjukkan kekayaan,” dipetik BH.

Beliau turut memaklumkan terdapat enam jenis pelaburan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu di bank atau institusi kewangan, anak syarikat bank, insurans atau takaful, pelaburan unit amanah serta koperasi.

Jelasnya, hutang boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu hutang yang membuatkan seseorang semakin miskin dan hutang yang menjadikan mereka semakin kaya.

“Hutang pinjaman ASNB untuk pelaburan contohnya, masih relevan yang mana faedah daripada simpanan itu boleh memberi pulangan tinggi dan seelok-eloknya faedah dikumpulkan dalam tempoh 10 tahun.

“Hutang berisiko pula seperti pajak gadai dengan kadar faedah antara sembilan hingga 24 peratus, kad kredit dengan faedah sehingga 18 peratus dan boleh meningkat dua kali ganda jika tidak dibayar dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Sehubungan itu, Shamsuddin mengingatkan anak muda supaya merancang kewangan dengan teratur dan berbelanja secara berhemah bagi memastikan kelangsungan hidup tidak terjejas.

Tahun lalu sahaja, dilaporkan bahawa 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri daripada belia, hasil Laporan Pantauan Ekonomi oleh Bank Dunia.

Mengikut perangkaan sehingga 31 Disember 2021 oleh Jabatan Insolvensi, sebanyak 289,766 kes dalam proses kebankrapan.

Baca:

3 selebriti global ini lantang bersuara walau dicop anti-Semitik

Dahsyat grafik kempen boikot di Turki ini, rupanya Starbucks terang-terang sokong pengganas dunia

9 aksesori dan gajet kereta paling popular dibeli oleh pengguna, setiap kereta wajib ada