Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk memastikan sumber makanan yang kita makan adalah halal.
Status halal dan haram makanan yang kita konsumsi harus dipandang serius, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan;
kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (Surah Al-Baqarah 2:168).
Terdapat hikmah di sebalik tuntutan mencari makanan halal, yang semestinya demi kebaikan dan kesihatan tubuh kita.
Namun, kini semakin biasa melihat umat Islam makan di premis yang hanya memaparkan notis ‘No Pork No Lard’, tanpa memastikan status halal makanan yang dihidangkan.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan perkara ini dalam catatannya di Maktabahalbakri.
“Perkataan ‘pork’ berasal dari bahasa Inggeris yang bermaksud daging babi, manakala ‘lard’ pula merujuk kepada lemak babi yang cair digunakan dalam masakan.
“Jadi, ‘No Pork No Lard’ bermaksud premis atau restoran tersebut tidak menghidangkan daging atau lemak babi. Secara umum, makanan yang dihidangkan mungkin berasaskan makanan laut, daging lembu, ayam, dan daging-daging yang diproses.
“Walaupun secara umumnya hukum asal makanan dan minuman adalah halal melainkan ada dalil yang menunjukkan sebaliknya, kita perlu berhati-hati. Apabila premis, terutama yang dimiliki oleh bukan Islam, menyatakan mereka tidak menghidangkan daging atau lemak babi, ini tidak semestinya menjamin makanan yang disediakan adalah 100% halal,” jelasnya.
Beliau menambah, walaupun tiada daging atau lemak babi, bahan-bahan lain seperti ayam, daging, bahan masakan, dan sebagainya mungkin tidak semestinya halal.
“Terutama sekali jika melibatkan daging yang memerlukan sembelihan. Sesuatu sembelihan dianggap tidak halal melainkan jika kita yakin ia disembelih mengikut syarak.
“Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jika terdapat syak atau keraguan mengenai sembelihan yang menghalalkan haiwan, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram. Ini merupakan pendapat yang tidak dipertikaikan. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78).”
“Oleh itu, berdasarkan penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa umat Islam tidak boleh makan makanan (terutamanya yang berasaskan daging) di restoran atau premis bukan Islam yang hanya mendakwa ‘No Pork No Lard’, melainkan kita yakin makanan tersebut benar-benar halal dan tidak mengandungi bahan-bahan yang bernajis seperti wain, arak, dan seumpamanya.
“Selain itu, perkakas memasak juga perlu bersih dan tidak bernajis. Ini adalah pendapat yang lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat),” tambahnya.
Beliau juga menekankan bahawa meninggalkan tempat makan yang tidak pasti kehalalannya adalah selaras dengan saranan agama untuk menjauhi perkara-perkara yang syubhah (ragu-ragu).
“Meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan adalah lebih dianjurkan dalam Islam dan memberikan ketenangan jiwa,” jelasnya.
Justeru, marilah kita berusaha mencari sumber makanan yang terjamin kehalalannya.
BACa: ‘Cuma jangan lebih dari..’ Rupanya ada had sidai baju di rumah flat ramai tak tahu