Rakyat Singapura rasa kaya di Malaysia, hakikatnya miskin di negara sendiri

Oleh ABDULLAH HAMID

Rakyat Singapura rasa kaya di Malaysia, hakikatnya miskin di negara sendiri. Tidak dapat dinafikan, semakin ramai rakyat Singapura gemar berbelanja di Malaysia. Dengan kadar pertukaran mata wang yang sangat memihak kepada mereka, segalanya terasa lebih murah — makan mewah, beli barangan berkualiti, dan nikmati perkhidmatan premium, semuanya pada harga yang jauh lebih rendah berbanding di negara sendiri.

Namun di sebalik kelebihan itu, seorang tokoh perniagaan Singapura tampil memberi perspektif yang jarang didengari.

Tan Kian Liah Buka Suara – “Hakikatnya, Kami Sempit Di Tanah Sendiri”

Tan Kian Liah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income yang juga dikenali sebagai aktivis sosial, mengingatkan rakyat Singapura agar tidak terlalu leka dengan ilusi ‘kaya sekejap’ semasa berada di Malaysia.

“Ramai warga Singapura berasa mereka lebih hebat kerana gaji mereka SGD3,000, berbanding rakyat Malaysia yang mungkin hanya terima RM3,000. Tapi mereka lupa — nilai duit bukan segalanya,” katanya.

Menurut Tan, di Singapura, kos hidup amat tinggi terutamanya dari segi perumahan dan pemilikan kenderaan. Akibatnya, sebahagian besar pendapatan ‘hilang’ untuk menampung kos tersebut, dan pendapatan boleh guna (disposable income) untuk keperluan harian seperti makanan hanya sekitar 20%, iaitu kira-kira SGD600 sebulan sahaja.

Malaysia Lebih Murah – Pendapatan Boleh Guna Lebih Tinggi

Tan juga menekankan bahawa rakyat Malaysia, walaupun berpendapatan lebih rendah dalam angka, mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih besar, kerana kos perumahan dan kereta di Malaysia jauh lebih rendah berbanding Singapura.

“Di Malaysia, seseorang boleh gunakan hingga 40% daripada pendapatan mereka untuk makanan dan keperluan lain,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi contoh mudah:

“Kalau di Malaysia kita makan RM12, kita fikir ia setara SGD3.50. Tapi di Singapura, makanan serupa boleh cecah hingga SGD8. Jadi tak boleh banding terus guna tukaran mata wang semata-mata.”

Realiti Di Sebalik Gaya Hidup Mewah Sementara

Tan mengingatkan bahawa walaupun rakyat Singapura mungkin nampak ‘mewah’ ketika berbelanja di Johor Bahru atau Kuala Lumpur, hakikatnya ramai yang bergelut untuk menampung kos kehidupan di negara sendiri — sama seperti rakyat Malaysia yang merasai tekanan inflasi.

“Kita semua sedang bergelut, cuma dalam cara yang berbeza. Jangan cepat rasa selesa hanya kerana wang kita bernilai lebih di negara orang,” katanya penuh makna.

Siapa Tan Kian Liah?

Tan Kian Liah merupakan tokoh yang disegani dalam dunia korporat Singapura. Beliau pernah mengetuai NTUC Income, sebuah koperasi insurans terbesar di Singapura, dari tahun 1977 hingga 2007. Di bawah kepimpinannya, aset syarikat melonjak daripada SGD28 juta kepada lebih SGD17 bilion, dengan lebih sejuta pemegang polisi.

BACA JUGA :

Tiada ‘tongkat’ tapi gagah berdiri, ini sebab Melayu Singapura berjaya

Paparan jalur gemilang tak lengkap: Syarikat makanan bayi Singapura disiasat KDN

PMX sifatkan isteri Presiden pertama Singapura ikon wanita yang patut diteladani