Realtime website trackingweb stats

Puisi ‘Sekiranya saya harus mati’ tinggal kenangan, giliran penyair terkenal Gaza pula terkorban dibedil pengganas

Oleh AHMAD ISMAIL

“Saya harap saya seorang pejuang kemerdekaan jadi saya terkorban melawan genosid dilakukan Israel yang menyerang kawasan kejiranan dan bandar saya (di Shujayia).”

“Kami berdepan lebih 24 jam pengeboman dan tembakan. Kami secara paksa meninggalkan satu lagi tempat perlindungan bersama beribu-ribu keluarga. Ramai yang masih terperangkap di Shujayia termasuk kanak-kanak dan ahli keluarga saya.”

Itu catatan penyajak terkenal Palestin, Refaat Alareer tiga hari sebelum gilirannya pula terkorban akibat dibedil tentera Zionis.

Beliau turut sempat merakam video berdurasi 23 saat ketika serangan pada waktu malam, 4 Disember. Walaupun gelap tetapi jelas kedengaran serangan dan pengeboman bertalu-talu oleh pihak Israel.

Allahyarham merupakan salah seorang penulis generasi muda negara berkenaan syahid dalam serangan Israel pada malam 7 Disember lalu.

Sepanjang hayatnya, Refaat bertugas sebagai profesor Kesusasteraan Inggeris di Universiti Islam Gaza yang turut mengajar karya-karya Shakespeare.

Di universiti berkenaan juga, Allahyarham menjadi pengasas kepada sebuah projek “”We are not numbers” yang menghimpunkan penulis-penulis Gaza bersama mentor di seberang laut yang membantu mereka menulis karya di dalam bahasa Inggeris berkaitan pengalaman dan kesengsaraan kehidupan di Gaza.

Puisi 'Sekiranya saya harus mati' tinggal kenangan, giliran penyair terkenal Gaza pula terkorban dibedil pengganas

Projek berkenaan berjaya melahirkan sebuah buku yang disunting bertajuk “Gaza Writes Back”.

Sebelum meninggal dunia, Refaat sempat menerbitkan puisi di X bertajuk ‘Sekiranya saya harus mati’ yang telah dikongsi ratusan kali.

Sementara itu, rata-rata rakan dan penyair memberi penghormatan kepada Allahyarham di X.

“Hati saya hancur, sahabat dan teman, Refaat Alareer terbunuh bersama ahli keluarga beberapa minit lalu”, tulis rakannya, yang juga penyair Gaza, Mosab Abu Toha di Facebook.

“Sukar dipercayai. Kami berdua sangat gemar memetik strawberi bersama-sama.

Dalam perkara berkaitan, rakan baik Refaat, Ahmed Alnaouq menyifatkan pembunuhan penyair berkenaan sebagai kehilangan besar buat dunia sastera Asia Barat.

“Pembunuhan Refaat sesuatu yang tragik dan merupakan kehilangan besar”, tulis Alnaouq di X.

Laman hab Kesusateraan turut memberikan penghormatan, selain wartawan, Ramzy Baroud yang turut menulis di X memberikan penghormatan buatnya.

“Damailah di sana. Kami akan sentiasa dipandu dengan kebijaksanaan anda sampai bila-bila”, tulis Ramzy pula.

Baca:

‘Jangan samakan saya dengan dia lagi’ – Ini sebabnya Adam Lee buang jambang

Siapa kata boikot tak berkesan, data dedah Starbucks merosot 40 peratus

‘Pergi tandas, keluar makan pun ada yang rakam senyap-senyap’ – Nadin Amizah rimas diperhati gerak-geri