PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan pendirian tegasnya untuk memastikan sebarang bentuk propaganda Zionis tidak menembusi ruang digital negara, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau menjelaskan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil langkah pencegahan termasuk meneliti algoritma media sosial bagi mengesan serta mengekang kandungan mengelirukan yang cuba disebarkan oleh rejim tersebut.
Menurutnya, kerajaan turut menjalankan sesi libat urus secara berterusan bersama penyedia platform media sosial bagi menyampaikan mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dalam isu itu.
“Melalui pertemuan yang konsisten ini, kita mahu memberi isyarat bahawa Malaysia komited menolak sebarang percubaan untuk menyeludup masuk propaganda Zionis melalui algoritma. Sebagai sebuah negara berdaulat, kita berhak bersuara, dan pihak platform telah menerima pandangan kita,” katanya ketika melawat Pusat Gerakan Sumud Nusantara di Sepang, hari ini, lapor Bernama.
Fahmi turut memaklumkan bahawa ketegasan kerajaan dizahirkan menerusi perbincangan rasmi dengan pengurusan TikTok, berhubung isu lantikan bekas anggota latihan Tentera Pertahanan Israel (IDF) sebagai pengurus kandungan di Amerika Syarikat.
“Kami menyatakan kebimbangan kerana kehadiran individu dengan latar belakang sebegitu tidak memberi mesej positif kepada ekosistem TikTok. Perkara ini telah kami tekankan secara jelas,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan berita palsu berkaitan isu Palestin serta inisiatif Global Sumud Flotilla.
“Sebagai contoh, ada dakwaan yang tular di luar negara kononnya kapal-kapal flotilla diserang komando Israel, sedangkan hakikatnya perkara itu tidak berlaku,” tegasnya.