PUTRAJAYA – Kerajaan merancang untuk memberi penekanan kepada pelaksanaan program dakwah berimpak tinggi pada tahun 2026 dengan tumpuan khusus terhadap pembinaan institusi kekeluargaan, pembudayaan adab dalam penggunaan media sosial serta usaha menangani pelbagai isu sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata sepanjang tahun ini, lebih 3,000 program dakwah berjaya dilaksanakan, sekali gus mencerminkan pencapaian yang membanggakan.
Namun katanya, pendekatan dakwah pada tahun hadapan akan beralih daripada aspek kuantiti kepada kualiti dan kesan sebenar kepada masyarakat.
“Bagi 2026, keutamaan kita ialah impak. Tidak menjadi isu jika jumlah program berkurang, asalkan mesej yang disampaikan benar-benar membentuk masyarakat yang berilmu dan beradab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Penutupan Program Dakwah Negara 2025.
Beliau menegaskan bahawa pembentukan masyarakat MADANI menuntut keseimbangan antara ilmu pengetahuan dan adab, termasuk dalam cara berinteraksi di platform media sosial.
Sehubungan itu, Mohd Na’im berkata aspek pendidikan adab dalam penggunaan media sosial perlu diperkasakan, memandangkan kecenderungan sesetengah pihak menjadikan platform digital sebagai medium meluahkan masalah peribadi.
Beliau berharap pendekatan dakwah yang dibawa YADIM turut menekankan bimbingan kepada pasangan suami isteri agar tidak menggunakan media sosial untuk mengaibkan pasangan, kerana tindakan sedemikian tidak menyelesaikan konflik rumah tangga.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa kerajaan melalui YADIM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneruskan pelaksanaan program dakwah bersasar, termasuk yang melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menurutnya, JAKIM sememangnya mempunyai program khusus berkaitan perkara tersebut, namun peranan mendidik dan membimbing masyarakat perlu digalas secara bersama oleh semua institusi agama dan pihak berkepentingan.