PRN: SKMM siasat hantaran Hina Perdana Menteri

Oleh ADINDA

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat satu laporan berhubung tindakan seorang pengguna media sosial yang memuat naik kandungan berunsur hasutan, dipercayai bertujuan menimbulkan kebencian rakyat Sabah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata aduan tersebut diterima di tengah-tengah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dan pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta proses demokrasi.

Menurut beliau, SKMM akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil ke atas individu yang menyebarkan kandungan bersifat menghasut itu.

Teo menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada laporan rasmi diterima daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai calon yang melanggar peraturan kempen melalui media sosial. Bagaimanapun, katanya, SKMM bersedia bertindak menurunkan apa-apa bahan kempen yang didapati menyalahi undang-undang sekiranya diminta oleh SPR.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media Kementerian Komunikasi sempena PRN Sabah ke-17 di Sandakan.

Sementara itu, SPR menetapkan 25 November sebagai hari pengundian awal dan 29 November sebagai tarikh pengundian utama. Seramai 1,784,843 pengundi layak memilih pada PRN kali ini, termasuk 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan mereka.