Populariti PMX Tinggi di Sabah, Tetapi Belum Pasti Menjamin Undi – Ilham Centre

Oleh AHMAD ISMAIL

KUALA LUMPUR: Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah dilihat berada pada tahap yang jauh lebih tinggi berbanding di peringkat nasional, menurut dapatan awal tinjauan lapangan oleh Ilham Centre sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata maklum balas yang diterima menunjukkan majoriti penduduk Sabah yang ditemui mempunyai penilaian positif terhadap Anwar serta dasar-dasar Kerajaan MADANI.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa persoalan utama kini ialah sama ada sentimen positif tersebut mampu diterjemahkan kepada undi untuk parti-parti yang bekerjasama dengan Perdana Menteri itu.

“Secara keseluruhan, populariti PMX di Sabah memang tinggi, jauh melepasi angka nasional. Tetapi cabaran sebenar ialah sama ada penerimaan baik ini dapat berubah menjadi undi, khususnya kepada parti yang menaungi PMX dan parti rakan gabungan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Mohd Yusri turut membangkitkan persoalan mengenai sejauh mana populariti tersebut mampu mempengaruhi proses pembentukan kerajaan Sabah selepas hari pengundian pada 29 November nanti.

Katanya, laporan penuh hasil kajian dan pemerhatian Ilham Centre dijangka diterbitkan dalam masa terdekat.