Realtime website trackingweb stats

Polis Evo 3 kutip RM50 juta tapi 3 filem ini paling rugi, nombor 2 tu pun pasal polis

Oleh ABDULLAH HAMID

Jika ‘Polis Evo 3’ mencatat kutipan RM50 juta dalam tempoh 24 hari ditayangkan pada 2023, lain pula halnya dengan tiga filem tempatan lain.

Ketiga-tiganya mencatat rekod kutipan tiket terendah pada kadar purata RM5,900 sepanjang tahun lalu.

Kesemua filem terbabit dibikin menggunakan dana kerajaan iaitu Dana Filem Cereka bernilai antara RM500,000 hingga RM800,000 dan Dana Pemasaran antara RM60,000 hingga RM90,000.

Polis Evo 3 kutip RM50 juta tapi 3 filem ini paling rugi, nombor 2 tu pun pasal polis

Maklumat berkenaan tiga filem tercorot dari segi jualan tiket itu direkodkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) seperti berikut:

1. Vik2ria Secret

Menduduki senarai filem tercorot yang menjengah pawagam pada Jun tahun lalu. Naskhah yang mendapat sentuhan bintang legenda, AR Badul sebagai pengarah itu hanya mampu meraih kutipan RM5,058.90.

Filem ini berdepan pelbagai isu panas, antaranya Badul didakwa menjalin hubungan dengan heroin filem terbabit, Annie Ariffin. Poster Vik2ria Secret juga mendapat kecaman netizen.

Banyak pihak menganggap pemberian Dana Filem Cereka RM500,000 dan Dana Pemasaran RM90,000 untuk filem terbitan Sheunik Sdn Bhd itu sebagai membazir.

Apatah lagi, naskhah yang membabitkan kos RM1.05 juta itu hanya merekodkan 346 penonton sepanjang tayangan.

2. Kaaval: The Movie

Diadaptasi daripada drama bersiri disiarkan TV2, filem Kaaval: The Movie terbitan One Merge Sdn Bhd hanya mengaut RM5,645.10.

Naskhah ini mempertaruhkan genre aksi dengan memaparkan kesungguhan sekumpulan inspektor polis menumpaskan jenayah yang semakin meningkat di bandar, terutama membabitkan isu pemerdagangan manusia.

Diarahkan Nithin Renji Panicker dan R Lawrence, filem yang ditayangkan pada Jun tahun lalu itu mendapat bantuan Dana Filem Cereka sebanyak RM500,000 dan Dana Pemasaran sebanyak RM60,000.

3. Sazali Meor Coco

Tuah nampaknya tidak berpihak kepada pelakon, Zizan Nin apabila filem pertama arahannya berjudul Sazali Meor Coco yang ditayangkan di pawagam, November tahun lalu, hanya mengutip RM6,990.35.

Naskhah bercorak komedi terbitan Aquila Emas Sdn Bhd itu mengisahkan tiga beradik iaitu Sazali, Coco dan Meor yang berhijrah ke bandar untuk menjadi bintang terkenal.

Filem itu turut menerima Dana Filem Cereka berjumlah RM800,000.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, jumlah kutipan tiket tidak harus menjadi kayu pengukur kejayaan filem kerana ada faktor lain yang perlu diberi perhatian.

“Tidak dapat kutipan pecah panggung, tidak semestinya kita anggap filem itu gagal. Mungkin tarikh tayangan tidak kena dengan masa atau tema yang diketengah, tidak menepati cita rasa penonton.

“Selera penonton berbeza. Mungkin tidak berjaya di pawagam tempatan tetapi mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Contohnya, filem Imam, walaupun tidak dapat kutipan pecah panggung, tetapi mendapat pencalonan untuk festival filem di Tehran, Iran.

“Saya selalu ingatkan, kejayaan filem tidak harus diukur dari segi jumlah kutipan tiket semata-mata,” kata Azmir.

Baca:

Berdarah melayu brunei, Puteri Ameerah tarik perhatian netizen

“Dengan kekerdilan diri, saya mohon maaf kepada Siti Nurhaliza” – Mufti

Gandakan sabun cuci pinggan, tahan hingga 5 bulan