Polis: Dakwaan SPRM Acu Senjata Ketika Tangkapan Albert Tei Tidak Disokong Bukti

Oleh Admin 05

SHAH ALAM – Polis setakat ini belum menemui sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengesahkan dakwaan bahawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa menjalankan operasi penahanan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, di kediamannya pada 28 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati dakwaan berkenaan tidak disokong oleh fakta selepas pihak polis mengambil keterangan daripada semua pihak berkaitan termasuk pasukan SPRM yang terlibat dalam operasi tersebut.

Menurut beliau, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang elemen atau bahan bukti yang boleh mengesahkan laporan pengadu, iaitu isteri kepada Albert Tei, yang mendakwa senjata telah diacukan ke arah dirinya dan suami semasa kejadian.

Polis juga telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman berkenaan selain rakaman telefon bimbit, yang kini sedang dianalisis oleh unit forensik bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Shazeli memaklumkan jumlah rakaman CCTV yang diterima tidak boleh didedahkan memandangkan siasatan masih berlangsung.

Selain itu, beberapa individu turut dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, namun butiran lanjut termasuk jumlah saksi tidak boleh didedahkan buat masa ini.

Beliau menjelaskan, siasatan kes berkenaan dibuka di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi memastikan dakwaan disiasat secara menyeluruh, telus dan berlandaskan prosedur undang-undang.

Mengulas sama ada siasatan lanjut termasuk kemungkinan membuka kertas siasatan berkaitan laporan palsu, Shazeli berkata perkara tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan dan arahan lanjut.

“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan atau mengklasifikasikan siasatan kepada tindakan lain. Proses siasatan sedang diteruskan secara terperinci,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut sehingga siasatan selesai sepenuhnya.

Terdahulu, isteri Albert Tei membuat laporan polis pada 28 November dengan menyatakan suaminya ditahan oleh SPRM di bawah Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009, selain mendakwa berlaku tindakan mengacukan senjata semasa operasi berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pegawai SPRM yang terlibat dalam serbuan tersebut dilengkapi kamera badan dan peralatan rakaman, manakala Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan semua tindakan dilaksanakan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang sedia ada.