KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Setiausaha Politik Kanannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, untuk melepaskan jawatan susulan dakwaan rasuah sebagai contoh jelas komitmen kerajaan Madani terhadap prinsip integriti.
Anwar menegaskan, langkah berundur secara sukarela dan menyerahkan diri untuk disiasat adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.
“Beliau terus mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan meminta SPRM menjalankan siasatan. Perkara seperti ini tidak pernah kita lihat dahulu. Ada tuduhan sahaja, terus lepaskan jawatan dan panggil SPRM — ini baharu integriti,” katanya pada sesi dialog awam program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam, hari ini.
Menurut Anwar, sikap bertanggungjawab seperti itu perlu menjadi amalan dalam pentadbirannya. Beliau turut menekankan bahawa mana-mana individu dalam pasukannya yang terlibat salah laku mesti bersedia menghadapi tindakan undang-undang.
“Saya selalu ingatkan pegawai, kalau kamu bersalah, kamu tanggung akibatnya. Biarkan siasatan lengkap, bawa ke mahkamah. Itu cara kita membina negara yang terurus,” katanya.
Perdana menteri menegaskan bahawa untuk Malaysia bergerak sebagai negara maju, asas utama yang perlu diperkukuh ialah tadbir urus yang bersih dan berakauntabiliti.
Shamsul pada Selasa mengumumkan pengunduran dirinya selepas mendakwa terdapat usaha tertentu untuk menjatuhkan beliau dengan dakwaan yang boleh menjejaskan imej kerajaan Madani.