KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiga tahun pelaksanaan agenda Malaysia MADANI membuktikan kestabilan politik yang dicapai sejak 2022 telah membuka ruang kepada dasar yang lebih berani dan reformasi yang diurus dengan lebih tersusun.
Beliau berkata, segala kemajuan yang direkodkan adalah hasil sokongan rakyat pelbagai kaum serta komitmen penjawat awam dan kepimpinan kerajaan yang terus bekerja keras mengembalikan martabat negara.
Menurut Anwar, beliau baru sahaja menutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya pada pagi Ahad, yang menyaksikan penyertaan ratusan ribu rakyat sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperluas inisiatif MADANI di peringkat nasional.
“Syukur, ekonomi negara menunjukkan pemulihan kukuh dengan kadar pertumbuhan antara yang terbaik di rantau ini. Ringgit kembali stabil, manakala nilai dagangan mengatasi RM2 trilion. Malaysia kini hampir menghapuskan kemiskinan tegar, dengan baki hanya 0.09 peratus dan insya-Allah dapat ditamatkan awal tahun depan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan terus menambah baik perlindungan sosial termasuk kenaikan gaji penjawat awam terbesar dalam sejarah, selain bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion bagi meringankan beban rakyat.
Katanya, langkah ini diambil kerana kerajaan mendengar keresahan rakyat dan bertindak memenuhi keperluan sebenar mereka.
Di Sabah dan Sarawak, Anwar menjelaskan bahawa isu infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya kini dipantau secara bulanan melalui mekanisme penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Beliau turut memaklumkan bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo sedang bergerak mengikut jadual, menggambarkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap janji diterjemahkan kepada pelaksanaan.
Dalam aspek institusi, Perdana Menteri menyatakan reformasi terus diperkukuh melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, penambahbaikan sistem Parlimen, pembentangan RUU Ombudsman dan pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, bagi memastikan kemajuan negara disokong oleh tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.
Beliau berkata Malaysia juga memainkan peranan lebih tegas di arena antarabangsa dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin serta membuka pasaran baharu di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk mengukuhkan kedudukan sebagai negara dagang kompetitif.
Dalam masa sama, Anwar menegur segelintir pihak yang memilih untuk menyebarkan penghinaan dan maki hamun dalam politik sehingga menjejaskan usaha membangunkan negara serta merosakkan akhlak awam.
Namun, beliau tetap optimis bahawa Malaysia akan terus melangkah ke hadapan.
“Selagi kita bergerak dengan tekad yang sama, negara ini akan terus bangkit sebagai sebuah negara makmur yang dihormati di mata dunia,” katanya.