PUTRAJAYA, 9 Apr – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menolak dakwaan ‘ulama politik’ bahawa kenaikan harga bahan api hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya menyifatkan pandangan tersebut sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Beliau berkata, kenyataan yang disandarkan kepada tafsiran agama tanpa memahami realiti ekonomi global boleh memberi gambaran salah kepada masyarakat.
“Pandangan sedemikian menunjukkan kedangkalan ilmu yang ketara, namun dibaluti dengan tafsiran agama sehingga membuatkan sebahagian orang percaya. Hakikatnya ia tidak membantu, malah mengelirukan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pengangkutan Malaysia di sini, hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pandangan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini mempersoalkan rasional kenaikan harga minyak di Semenanjung Malaysia.
Abdul Hadi dilaporkan berpendapat tiada justifikasi kukuh untuk kenaikan tersebut memandangkan Malaysia merupakan negara pengeluar petroleum dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran, khususnya berkaitan laluan di Selat Hormuz.
Beliau turut membangkitkan isu perbezaan harga bahan api antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sebagai asas untuk mempersoalkan dasar penetapan harga semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasaskan realiti dan boleh mengelirukan masyarakat.
Menurutnya, faktor kenaikan harga minyak dunia dipengaruhi pelbagai elemen termasuk pasaran global, kos logistik dan ketidaktentuan geopolitik, bukan semata-mata isu laluan perkapalan atau sekatan antarabangsa.
Kerajaan, kata beliau, perlu terus memberi penjelasan yang jelas kepada rakyat agar isu berkaitan ekonomi dan kos sara hidup dapat difahami dalam konteks yang lebih menyeluruh.