PM Seru Semua Pihak Tangani Isu Titah Adendum Secara Berhemah dan Berlandaskan Undang-Undang

Oleh ADINDA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak agar menangani isu berkaitan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran, tanpa menimbulkan ketegangan dalam suasana yang sensitif.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar menegaskan bahawa walaupun terdapat pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Najib dan keluarganya, tindakan mengeruhkan keadaan atau mencetuskan provokasi adalah tidak wajar.

Beliau menekankan bahawa Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta pengasingan kuasa sebagai asas pentadbiran negara.

“Badan kehakiman mesti terus bebas daripada sebarang pengaruh luar, dan atas prinsip inilah saya menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh hakim,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah yang telah dibuat, termasuk hak dan ruang perundangan yang masih tersedia, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa saluran undang-undang, termasuk hak untuk mengemukakan rayuan serta permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, wajar digunakan mengikut proses yang sah dan tertib.

Semalam, isu Titah Adendum membabitkan Najib mencetuskan polemik dalam kalangan pimpinan UMNO susulan beberapa kenyataan yang dimuat naik oleh segelintir pemimpin DAP di media sosial.

Pada hari yang sama, mahkamah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah tahanan rumah berkaitan Titah Adendum, menyebabkan bekas Perdana Menteri itu perlu meneruskan baki hukuman penjara di Penjara Kajang.