PM Seru Hentikan Polemik Bahasa, Fokus Perkukuh Masa Depan Generasi Muda

Oleh SHAZLIN AZIZ

BENTONG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia agar menghentikan pertikaian berlarutan berhubung isu bahasa antara kaum dan menumpukan perhatian kepada usaha membina masa depan anak-anak negara yang lebih berdaya saing serta bersatu.

Menurut beliau, dasar pendidikan pelbagai bahasa yang dilaksanakan kerajaan tidak pernah bertujuan mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sebaliknya bertujuan memperkukuh perpaduan nasional serta membuka ruang yang adil kepada semua murid untuk menguasai pelbagai bahasa.

Anwar menegaskan bahawa keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa merupakan kelebihan strategik dalam menghadapi cabaran dunia global, tanpa menjejaskan identiti dan asas kenegaraan.

“Kita tidak mahu terus terperangkap dalam polemik perkauman berkaitan bahasa. Apa yang lebih utama ialah memastikan kualiti hidup rakyat dipertingkat dan masa depan anak-anak kita terjamin.

“Mereka perlu dipersiapkan untuk bersaing mendapatkan peluang pekerjaan bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat serantau dan antarabangsa. Oleh itu, penguasaan bahasa, sains, matematik, kemahiran digital dan kecerdasan buatan perlu diberi penekanan sejak awal persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Anwar menegaskan bahawa agenda mempertingkatkan mutu pendidikan wajar dilihat sebagai tanggungjawab bersama yang melangkaui perbezaan kaum, dengan tumpuan diberikan kepada penambahbaikan prasarana sekolah, latihan guru dan penyediaan kemudahan pembelajaran yang mencukupi.

Beliau turut menekankan bahawa sebarang perbezaan pandangan mengenai pendidikan boleh dibincangkan secara berhemah dan matang, namun tidak seharusnya mengalihkan fokus utama pendidikan sebagai medium penyatuan rakyat dan pemacu kemajuan negara.

Dalam perkembangan sama, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM13.5 juta bagi kerja penambahbaikan serta pembinaan kemudahan tambahan di SJKC Perting, termasuk kelulusan segera RM300,000 bagi membolehkan kerja awal dimulakan.

Menurut beliau, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada persediaan menghadapi kemasukan murid prasekolah berumur lima tahun serta murid Tahun Satu berusia enam tahun secara sukarela bermula tahun hadapan.

“Saya berharap sokongan berterusan daripada pihak pentadbiran sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti setempat agar sekolah ini dapat menjadi contoh terbaik kepada sekolah lain,” katanya.

Untuk rekod, projek tersebut merangkumi pembinaan sebuah bangunan baharu yang menempatkan enam bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta sebuah bilik darjah Prasekolah Integrasi.