PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa semua komitmen yang diumumkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan mula dilaksanakan pada bulan ini, khususnya yang melibatkan usaha menaik taraf infrastruktur asas.
Beliau berkata, bagi memastikan setiap projek berjalan seperti dirancang, kerajaan akan mengadakan mesyuarat penyelarasan secara berkala setiap bulan, bermula Disember ini, melibatkan kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Kita putuskan supaya mesyuarat penyelarasan pertama dilakukan bulan ini untuk memantau pelaksanaan. Jika terdapat 250 projek utama, maka setiap satunya perlu dipantau rapi. Mesyuarat bulanan antara Persekutuan dan negeri adalah langkah terbaik memastikan janji kita benar-benar ditunaikan.
“Ini berbeza dengan pendekatan politik sebelum ini, di mana janji dibuat sebelum pilihan raya tetapi ditinggalkan selepasnya. Kita komited, dalam tempoh seminggu selepas menang, kita turun padang untuk tetapkan mekanisme pelaksanaan. Sabah masih berdepan isu api, air dan jalan raya, dan perkara ini mesti dibereskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku serta Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, di sini pada Ahad. Majlis tersebut turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo — melibatkan peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak — akan diteruskan mengikut perancangan dan jadual yang ditetapkan.
“Projek ini berjalan dengan lebih baik dan tersusun. Tahniah kepada Sarawak kerana pelaksanaannya sudah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Kita juga bersetuju memberikan tambahan laluan ‘red line’ bagi menyokong pembangunan rangkaian jalan di Sarawak dan Sabah.
“Sejak projek ini diluluskan 10 tahun lalu, ini adalah kali pertama kita melihat kemajuan pelaksanaan yang lebih sistematik dan Insya-Allah, ia akan siap mengikut jadual,” katanya.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah kerana berjaya melaksanakan PRN baru-baru ini dalam suasana tenang meskipun pelbagai latar belakang serta perbezaan ketara wujud dalam kalangan pengundi.
“Bayangkan Sabah yang mempunyai kepelbagaian suku kaum dan fahaman agama, bertanding dalam suasana sengit tetapi tetap mampu menguruskan perbezaan dengan harmoni. Ini menjadi contoh kepada seluruh negara,” ujarnya.