TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa politik berasaskan provokasi kaum dan pertelagahan etnik tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat mahupun negara.
Beliau berkata, kerajaan masa kini komited mengangkat integriti, tadbir urus baik dan kepentingan rakyat sebagai asas pentadbiran, bukannya retorik kebencian yang memecahbelahkan masyarakat.
Menurut Anwar, pendekatan politik yang menyemai permusuhan seperti memainkan sentimen antara Melayu, Cina, Bugis, Sabah dan Semenanjung hanya merosakkan keharmonian nasional.
“Saya tidak mengamalkan politik yang membangkitkan kemarahan antara kaum. Itu bukan cara saya,” kata beliau ketika berucap pada Fiesta Demi Merotai Harapan Urang Sabah di Dewan Terbuka Merotai, malam ini.
Perdana Menteri menegaskan, sesiapa yang mahu menjadi wakil rakyat atau memimpin negeri perlu menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab kerana penilaian rakyat tidak pernah berhenti.
Beliau turut menempelak sebilangan pihak yang sanggup menabur janji berlebihan semata-mata demi mendapatkan kuasa.
Mengulas mengenai Sabah, Anwar menolak dakwaan kononnya negeri itu tidak memiliki kekayaan, sebaliknya menekankan bahawa potensi sebenar Sabah hanya dapat dimanfaatkan melalui pengurusan yang telus dan efisien.
Anwar turut mengingatkan bahawa keamanan negeri yang dihuni pelbagai etnik perlu dipelihara kerana keharmonian itulah tunjang kestabilan dan kemajuan negara.
“Sabah mesti terus aman, dan rakyatnya perlu bekerjasama,” katanya.