PH Utamakan Reformasi Institusi Susulan Analisis PRN Sabah – Fahmi

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) memutuskan bahawa usaha memperkukuh dan mempercepat pelaksanaan reformasi institusi perlu menjadi keutamaan dalam masa terdekat, susulan penilaian terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kesepakatan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis PH yang berlangsung hari ini, selepas gabungan itu meneliti implikasi dan dapatan awal keputusan PRN berkenaan.

Fahmi, yang juga Ketua Penerangan PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, turut memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen PH pada suku pertama tahun 2026.

“Konvensyen itu nanti akan memfokuskan penyusunan semula keutamaan reformasi serta hala tuju negara untuk tempoh dua tahun mendatang.

“Mesyuarat turut membincangkan perkara melibatkan tadbir urus kerajaan, kesejahteraan ekonomi rakyat serta pelaksanaan janji manifesto dan agenda reformasi institusi sepanjang tiga tahun pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, media melaporkan PKR telah mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) khas bagi menilai secara terperinci keputusan PRN Sabah, termasuk prestasi kerusi ditandingi parti itu dan rakan-rakan dalam PH.