Antara sebab-sebab mandi wajib termasuklah berjimak, keluarnya air mani, haid, nifas, mati dan mati syahid.
Namun, adakah anda pernah berada dalam situasi di mana anda perlu mandi wajib atas lebih daripada satu sebab besar, seperti contohnya, haid dan berjimak?
Sudah pasti anda mungkin keliru tentang bagaimana hendak membuat niat mandi wajib, sama ada untuk menggabungkan dua niat sekali atau memisahkan mereka.
Meskipun kelihatan sebagai perkara kecil, namun hal ini penting untuk difahami dengan jelas terutama dalam konteks ibadah.
Pertanyaan mengenai isu ini telah dijelaskan dengan terperinci oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui penulisannya dalam Maktabah Al-Bakri.
“Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haid, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).
“Seterusnya, para ulama menetapkan bahawa syarat fardu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu niat; menghilangkan najis jika ada pada badan dan meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.
“Kesimpulan, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan cukup sekadar satu niat sahaja untuk mandi wajib tersebut bagi dua atau lebih sebab yang mewajibkan mandi bagi seseorang tersebut.
“Justeru, tidak perlu untuk dia berniat untuk mandi wajib bagi dua hadas seperti hadas jimak dan keluar darah haid,” menurutnya.
Beliau menambah, perkara tersebut turut dijelaskan Syeikh Hasan al-Kaf, pengarang kitab al-Taqrirat al-Sadidah yang sarat dengan ilmu Feqah.
“Syeikh Hasan al-Kaf menerangkan di dalam kitabnya ini dengan menyebut:
“Jika sekiranya berkumpul dua atau lebih sebab yang menyebabkan wajib untuk mandi junub seperti jimak dan keluar air mani contohnya, adakah memadai dengan satu niat sahaja. Jawapan, iya, memadai dengan satu niat sahaja bagi kedua-dua sebab tersebut. Sama juga bagi mandi sunat (iaitu memadai satu niat sahaja untuk dua mandi sunat),” jelasnya lagi.
BACA: Pemilik restoran cina muslim terkenal dedah sebab tak pernah tanggal kopiah sejak masuk islam