PUTRAJAYA, 23 Julai 2025 – “Ada kata RM100 sahaja, tak apalah, kamu gaji RM20,000, RM40,000 sebulan tetapi kalau pergi ke kampung ada (memerlukan).”
Demikian teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap segelintir pihak yang memperlekeh pemberian tunai one-off RM100 kepada setiap warganegara dewasa yang diumumkan kerajaan semalam.
Beliau menyifatkan kenyataan meremehkan sumbangan itu tidak berpijak di bumi nyata dan mencerminkan kegagalan untuk memahami konteks sebenar bantuan yang diperkenalkan.
Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada mereka yang mengkritik ini benar-benar memahami keseluruhan langkah yang telah diambil kerajaan.
“Dia tak baca ke? Bila saya sebut rabun mata dia marah, ini tambahan RM13 bilion ke RM15 bilion untuk tahun ini STR dan SARA. Kemudian SSPA sebanyak 10 peratus tahun ini, 18 peratus tahun depan, ini tambahan daripada yang telah dilaksanakan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, hari ini.
Pengumuman itu, menurut beliau, adalah penghargaan kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan kepada lebih 22 juta rakyat dewasa dan ia juga kali pertama dalam sejarah bantuan tunai diberikan secara menyeluruh kepada setiap rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad.
Turut diumumkan semalam ialah penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter setelah pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api. Langkah ini bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal, termasuk belia dan pekerja ekonomi gig.
“Begitu juga penurunan harga minyak, itu saya kena buat walaupun masa kita bicara turun harga minyak, ada rasionalnya semasa harga minyak di Arab Saudi 50 sen.
“Sekarang harga minyak di Arab Saudi RM1.99 atau RM2.02. Bagaimanapun kita turun juga dan untuk orang asing kena ikut harga pasaran. Itu akan tetapkan kemudian,” katanya.
Mengulas isu subsidi kepada warga asing, Anwar turut menegur pihak pembangkang yang mempersoalkan dasar kerajaan untuk mengecualikan golongan itu daripada subsidi bahan api.
“Ada juga ketua parti pembangkang sebut, kenapa bebankan mereka. Saya rasa aneh, Ketua Pembangkang, hendak kata tidak cerdik, begitu keadaannya,” jelasnya.
Anwar menegaskan bahawa segala langkah yang diumumkan adalah berdasarkan kemampuan fiskal negara yang semakin kukuh hasil penstrukturan ekonomi dan peningkatan pelaburan asing sejak tahun lalu.
Beliau menyeru rakyat agar lebih bersyukur dan tidak terpengaruh dengan dakyah segelintir pihak yang terus mencari salah, walaupun manfaat yang diberi kini lebih luas dan menyeluruh.
“Boleh tegur dan kritik saya tidak ada masalah. Bukan kita dera mereka dan rampas hak dia, ini subsidi dan bukan cukai tambahan mereka. Ini maknanya subsidi yang kita beri 0.50 sen setiap satu liter itu, kita tarik tidak beri subsidi kerana di negara dia harga lebih tinggi RM2.50,” katanya.