Realtime website trackingweb stats

Perkara mudah jangan dipayahkan

Oleh ADINDA

Persoalan dan tuntutan ramai pihak secara baik dan sopan (kecuali segelintir pihak) adalah amat mudah dan straight forward, iaitu kemukakan bukti hitam putih aliran keluar masuk duit. That’s it.

Ringkasnya, penjelasan yang dituntut (sekurang-kurangnya oleh saya dan yang lain) adalah purely berkenaan tadbir urus yang sedia dimaklumi berasaskan kebertanggungjawaban, keadilan dan ketelusan.

Ia tidak lain adalah melindungi pihak berkepentingan dalam perihal ini iaitu penderma, penerima, wakil penderma sendiri dan lain-lain yang berkaitan. Contoh perincian yang diperlukan ialah butiran kutipan dan agihan sumbangan, belanja rombongan, kos keluar masuk sempadan Gaza, termasuk peranan dan tanggungjawab ahli rombongan, kos kontigensi, serta prosedur penyelesaian sekiranya berlakunya sebarang masalah ataupun konflik beserta lain-lain berkaitan.

Justeru, jika benar kesemua kos-kos pengurusan dan perjalanan pergi balik misi bantuan adalah sepenuhnya dari poket sendiri seperti yang dikatakan, tunjukkan bukti hitam putih, bukti transaksi aliran keluar masuk duit. Perkara ini secara logiknya amatlah mudah dan sangat besar potensi menutup ruang-ruang sangkaan dan tohmahan.

Seperti yang telah saya katakan lama dahulu semasa rombongan mereka berada di Mesir lagi, perkara-perkara yang disebutkan di atas perlu dibentangkan kepada umum sejurus selepas mereka pulang ke tanah air. Namun, apa yang kita lihat rakaman temubual di media hanyalah cerita-cerita pengalaman berada di sana, ditambah dengan tangisan air mata kerana dihujani tohmahan dan kritikan.

Ebit dan team rombongannya juga dikatakan sempat bersiar-siar di kawasan pelancongan ketika berada di Mesir

Mungkin ada yang memberi justifikasi beliau baru sahaja kehilangan ayahanda yang tersayang (Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum) berilah ruang dan masa untuk bertenang. Sebagai manusia dan saudara seagama, kita semua bersimpati dengan pemergian ayahanda juga langsung tidak ada sekelumit niat dan perasaan ingin melukakan hati ahli keluarganya. Justeru jika ruang ini yang diperlukan, boleh sahaja isytiharkan dan bagitahu setepatnya bila tarikh akan dibentangkan laporan penuh perjalanan. Saya kira ini sahaja sudah cukup untuk menutup ruang sangkaan dan tanda tanya yang berpanjangan.

Perseteruan peribadi

Perkara menjadi semakin rumit apabila isu yang pada asalnya berlegar sekitar tadbir urus menjadi isu perseteruan peribadi. Mulalah adegan memburuk-burukkan dan mencaci maki antara penyokong. Ditambah lagi, ada orang sekeliling yang menyimbah minyak ke api yang sedia marak.

Satu lagi perkara jelek dan janggal, ada sesetengah ahli politik dan penguasa sudah jelas mengambil side, berpihak kepada sebelah pihak dan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengancam pihak lain. Ini tindakan yang amat tidak wajar. Mungkin kerana sarang tebuan yang telah dijolok memerlukan dahan yang kukuh untuk berpaut?

Walau bagaimanapun agak ralat sekali, tuntutan mudah dipayahkan dengan memulakan langkah mengemukakan tuntutan sivil dan membuat laporan polis. Kita sedia maklum, jika kertas siasatan dan pendakwaan sudah dibuka, berkemungkinan besar akan meleret dan membuang masa serta menelan kos yang tidak dapat dipastikan jumlah keseluruhannya.

Lihat disini : Ebit Lew buat laporan polis 

Apapun, kita menanti apa yang akan berlaku pada jam 12 ini (sidang media Ebit Lew). Diharapkan persoalan dan tuntutan tadbir urus dapat dijelaskan dengan tuntas. Begitu juga, harap tidak ada air mata jantan yang menitik dan cerita-cerita syahdu melibatkan ahli keluarga, bidadari, anak-anak apatah lagi Almarhum ayahanda. Lembaran air mata perlu diubah kepada lembaran audit.

Nota: Sekali lagi dan berulang-ulang kali ditegaskan, saya langsung tidak ada apa-apa masalah atau kepentingan berkenaan saudara Ebit atau mana-mana pihak yang ikhlas melakukan kerja kebajikan, malahan saya sendiri tak mampu untuk berbuat seperti mereka.

Tranparensi dan akauntabiliti

Namun, saya lontarkan agar kerja kebajikan perlu dihias dengan akhlak ketelusan dan kebertanggungjawaban (transparency & accountability) yang tinggi kerana ia melibatkan amanah dan akad wakalah bil ujrah (yang diharuskan mengambil upah) yang amat berat neracanya di sisi agama. Tidak usahlah mengambil kredit atas usaha kebajikan untuk kepentingan peribadi seperti yang dilakukan segelintir pihak.

Tuntutan-tuntutan ini turut terpakai ke atas kesemua NGO kebajikan termasuklah yang dikelola oleh saudara Nadir. Satu lagi, tolonglah jangan kaitkan saya dengan saudara Topinasi (saya tak pasti namanya apa). Saya langsung tak mengenali dan tak berkenan dengan cara beliau meskipun beliau ada poin.

Di samping itu, saya juga terpanggil untuk berkongsi serba ringkas berkenaan prosedur audit yang dijalankan oleh agensi zakat kerana saya lihat sudah timbul cakap-cakap dan komen-komen yang mula menyalahkan agensi zakat atas kekhilafan yang timbul (tiba-tiba kan?). Prosedur ini dikongsikan oleh salah seorang sahabat saya yang terlibat secara langsung dalam proses audit saban tahun:

1. Bagaimana menerima dana zakat.

2. Rekod pembayaran.

3. Cara simpan duit zakat sebelum diberi kepada bahagian agihan.

4. Keselamatan semasa menerima dana zakat.

5. Resit rasmi yang dikeluarkan adalah sama dengan nilai zakat yg diberi oleh individu atau syarikat.

6. Sistem yang digunakan.

7. Masa yg diperuntukkan untuk proses resit.

8. Tauliah.

9. SOP transaksi.

10. Integriti.

Beginilah secara ringkas proses pengauditan agensi zakat dan kemudiannya laporan dibentangkan saban tahun. Suka untuk diingatkan, ini baru prosedur agensi kutipan zakat, belum cerita bab agihan. Begitu juga prosedur ini berkemungkinan perlu diubah suai untuk dipraktikkan oleh NGO kebajikan, namun ia bolehlah dijadikan asas rujukan di samping melihat good practice yang sudah dilakukan oleh segelintir NGO.

Gambar hiasan

Di samping itu, saya juga ingin tegaskan bahawasanya agensi zakat ataupun mana-mana agensi mahupun badan kebajikan tiada yang sempurna apatah lagi maksum, justeru mereka sentiasa terbuka kepada teguran dan kritikan membina, namun jangan terlajak dan berlebihan sampai dihina, diperlekeh dan direndah-rendahkan dek kerana kebencian yang melampau.

Semoga kita semua disayangi Allah kerana berusaha untuk mengamalkan nilai IHSAN dalam beramal kebajikan, justeru laporan audit boleh dikatakan salah satu elemen penting nilai ihsan, sepertimana warid dalam Surah al-Baqarah:

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Terjemahan Abdullah Muhammad Basmeih:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan berlaku ihsan (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya ALLAH SAYANG orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Baqarah: 195)

ALLAH SAYANG PENCINTA KEBAJIKAN

ALLAH SAYANG PELAPOR AUDIT DALAM KERJA KEBAJIKAN

ALLAH SAYANG PEMATUH PROSEDUR DALAM KERJA KEBAJIKAN

ALLAH SAYANG SEMUA BERSIKAP IHSAN DALAM BERAMAL

 

Furqan Abdullah adalah seorang pegawai eksekutif zakat di sebuah pusat pungutan zakat.