Perjanjian Dagang Baharu Tidak Jejas Kedaulatan Malaysia – Duta AS

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR, — Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan, menegaskan bahawa perjanjian perdagangan baharu antara Malaysia dan AS tidak menjejaskan kedaulatan negara ini, sebaliknya membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang lebih erat dan saling menguntungkan.

Beliau berkata, Malaysia menandatangani perjanjian itu secara sukarela sebagai keputusan berdaulat yang mencerminkan keyakinan terhadap manfaat kerjasama ekonomi dengan Washington.

“Kami tidak menyerahkan kedaulatan. Ini adalah pengiktirafan bahawa kita sedang memasuki fasa baharu dalam hubungan,” katanya dipetik oleh Free Malaysia Today (FMT).

“Malaysia membuat keputusan berdaulat untuk memasuki perjanjian tersebut. Ia melindungi kedaulatan Malaysia dengan menjelaskan bahawa Malaysia memilih hubungan yang lebih dekat dengan AS,” tambahnya.

Sebelum ini, bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membangkitkan kebimbangan berhubung Artikel 5.1 dalam perjanjian tersebut yang didakwa boleh menjejaskan pendirian neutral Malaysia.

Artikel berkenaan memperuntukkan bahawa sekiranya AS mengenakan tarif, kuota, larangan atau langkah perdagangan lain terhadap mana-mana negara bagi melindungi keselamatan ekonomi dan nasionalnya, Malaysia perlu mengambil tindakan serupa atau bersetuju dengan garis masa tertentu untuk melaksanakannya.

Selain itu, Malaysia juga dijangka akan memperketat pengawasan terhadap syarikat milik atau dikawal oleh negara asing yang beroperasi di negara ini dan mengeksport barangan di bawah harga pasaran ke AS, atau yang dilihat merugikan kepentingan eksport Amerika.

Perenggan tersebut dipercayai menyasarkan China, yang dikatakan oleh Presiden AS Donald Trump sebagai punca ketidakseimbangan perdagangan dan ancaman kepada keselamatan ekonomi negaranya.

China bagaimanapun kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, dengan eksport ke negara itu menyumbang kira-kira 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024.

Mengulas lanjut, Kagan menjelaskan bahawa peruntukan seperti Artikel 5.1 adalah amalan biasa dalam perjanjian antarabangsa, dan sebarang tindakan yang mungkin menjejaskan kepentingan sesebuah negara boleh dibincangkan melalui saluran diplomatik yang sewajarnya.

Katanya, pemenuhan komitmen perdagangan di bawah perjanjian itu termasuk beberapa komponen seperti pengeksportan nadir bumi (REE) ke AS tanpa sekatan, selain manfaat timbal balik seperti pengekalan kadar tarif pada 19 peratus serta pengecualian eksport semikonduktor Malaysia.

Pada tahun 2024, AS muncul sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan keseluruhan mencecah RM198.65 bilion, di mana RM60.6 bilion daripadanya datang daripada eksport semikonduktor.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan berpuas hati dengan hasil perjanjian tersebut, sambil menegaskan bahawa Malaysia tidak perlu menarik balik mana-mana perjanjian terdahulu, sebaliknya memperoleh faedah yang lebih luas daripada rundingan semasa.