KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu tidak lagi terpakai selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan sebahagian besar dasar tarif menyeluruh yang diperkenalkan sebelum ini oleh Presiden negara itu, Donald Trump.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata di bawah perjanjian ART tersebut, Malaysia sebelum ini dikenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus.
Bagaimanapun, buat masa ini Amerika Syarikat hanya mengenakan tarif sementara sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Malaysia.
Menurut beliau, tarif tersebut dilaksanakan menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan 1974 Amerika Syarikat, sementara kerajaan negara itu melakukan penilaian lanjut sebelum kemungkinan menggunakan Seksyen 301 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Dalam tempoh kira-kira lima bulan ini mereka akan membuat semakan sama ada untuk menggunakan Seksyen 301. Di bawah peruntukan itu terdapat beberapa aspek yang akan dinilai,” katanya ketika ditemui media pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Padang Blok B7 Desa Pandan di sini.
Johari menjelaskan antara perkara yang akan diteliti termasuk kemungkinan lambakan produk dari Malaysia di pasaran Amerika Syarikat.
Selain itu, penilaian turut melibatkan isu penggunaan buruh paksa, pekerja tanpa dokumen sah atau pekerja bawah umur dalam pengeluaran produk yang dieksport ke negara berkenaan.
Beliau berkata faktor berkaitan alam sekitar juga akan diambil kira dalam menentukan kadar tarif yang mungkin dikenakan.
“Amerika Syarikat juga menilai kesan terhadap persekitaran, sama seperti pendekatan yang digunakan oleh Kesatuan Eropah dalam menetapkan standard perdagangan,” katanya.
Satu lagi aspek yang akan dinilai ialah sama ada kerajaan sesebuah negara memberi subsidi kepada pengeksport sehingga membolehkan produk dijual pada harga lebih rendah di pasaran antarabangsa.
Menurut Johari, langkah tersebut dilihat sebagai usaha melindungi industri tempatan di Amerika Syarikat daripada persaingan harga yang dianggap tidak adil.
Beliau berkata penilaian tersebut bukan sahaja dikenakan terhadap Malaysia, malah melibatkan kira-kira 60 negara yang menjalankan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Sebelum ini, Johari memaklumkan Malaysia sedang meneliti perkembangan dasar perdagangan terbaharu Amerika Syarikat, termasuk implikasi daripada keputusan pentadbiran Trump yang mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga kini Malaysia masih belum meratifikasi perjanjian ART walaupun dokumen tersebut telah ditandatangani pada Oktober tahun lalu.
Pada program sama, lebih 2,500 pek sumbangan Aidilfitri diagihkan kepada penduduk setempat termasuk di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri, dengan keseluruhan sebanyak 15,000 pek dirancang untuk diagihkan sepanjang Ramadan.