Perang Asia Barat: Kerajaan fokus lindungi hidup rakyat

Oleh Admin 06

PUTRAJAYA, 11 Mac – Kerajaan mengumumkan penyelarasan harga runcit petrol dan diesel di Malaysia selaras dengan pergerakan harga minyak mentah di pasaran global susulan ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan lonjakan harga minyak dunia berlaku selepas perkembangan konflik yang melibatkan serangan terhadap Republik Islam Iran, sekali gus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.

Menurut kementerian itu, pada 9 Mac lalu harga minyak mentah Brent dilaporkan meningkat sehingga AS$119 setong sebelum kembali menyusut ke sekitar AS$90 setong, namun pasaran masih berada dalam keadaan tidak stabil.

Sehubungan itu, harga pam bagi RON95 dan RON97 diselaraskan dengan kenaikan sebanyak 60 sen seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia meningkat 80 sen seliter.

Bagi tempoh 12 hingga 18 Mac 2026, harga runcit tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.27 seliter bagi RON95, RM3.85 seliter bagi RON97 dan RM3.92 seliter bagi diesel di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan langkah perlindungan kepada rakyat akan terus dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga tersebut.

Melalui inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI, harga RON95 untuk rakyat kekal pada kadar bersubsidi RM1.99 seliter, sekali gus memastikan pengguna domestik tidak terdedah sepenuhnya kepada harga pasaran global.

Dalam masa sama, harga diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan barangan di Semenanjung Malaysia turut dikekalkan pada RM2.15 seliter bagi mengelakkan kesan berantai terhadap harga barangan pengguna.

Sektor pengangkutan awam darat pula terus menikmati harga diesel pada kadar RM1.88 seliter bagi memastikan kos operasi tidak meningkat secara mendadak.

Kerajaan turut memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak terjejas oleh pelarasan harga tersebut.

Pemilik kenderaan diesel individu serta sektor pertanian di kedua-dua wilayah berkenaan terus menikmati harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter.

Selain itu, bantuan tunai kepada penerima di bawah program BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi turut dipertingkatkan sebagai langkah tambahan bagi meringankan beban golongan yang terkesan.

Bagi bulan Mac 2026, bantuan interim itu dinaikkan daripada RM200 kepada RM300, dengan tambahan RM100 akan mula disalurkan kepada penerima bermula 17 Mac ini.

Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan kekal komited mengekalkan keseimbangan antara perlindungan kepada rakyat dan tanggungjawab fiskal negara dalam pengurusan subsidi.

Pada masa sama, usaha penguatkuasaan akan diperkukuh bagi memastikan bahan api bersubsidi tidak disalah guna atau berlaku ketirisan, terutama memandangkan harga bahan api di Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara jiran.

Kerajaan menegaskan bahawa walaupun harga bahan api perlu diselaraskan bagi mencerminkan realiti pasaran global, langkah perlindungan akan terus dilaksanakan bagi memastikan rakyat kekal dilindungi daripada kesan kenaikan harga tersebut.