Penjawat awam Singapura pandu Maserati mengaku tak bersalah. Seorang penjawat awam warga Singapura yang memandu kereta mewah Maserati mencuri perhatian apabila tampil di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Malaysia dalam satu kemalangan ngeri minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Irshad Abdul Hameed, 27 tahun, membuat pengakuan itu dengan tenang selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, lapor Harian Metro.
Tragedi di Linkedua: U-Turn Haram, Nyawa Melayang
Menurut pertuduhan, Irshad yang memandu Maserati didakwa memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian A Vasanthraj, 32, di Kilometer 0.6 Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (Linkedua), sekitar jam 6.40 petang, pada 9 Mei lalu.
Kes tersebut menjadi perhatian umum selepas dilaporkan bahawa pemandu berkenaan membuat pusingan-U secara haram, hingga menyebabkan penunggang motosikal tempatan terbabit maut di tempat kejadian.
Pendakwa Minta Jaminan Tinggi, Peguam Rayu Kerana Tanggungan Ibu Sakit
Pihak pendakwaan, diketuai Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh, mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan, dan syarat tambahan termasuk penyerahan pasport serta lapor diri bulanan ke balai polis.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Baharudin Baharim dan Zarina Ismail Tom, memohon jaminan lebih rendah. Baharudin merayu agar mahkamah tidak mengenakan syarat serah pasport, kerana tertuduh perlu kembali ke Singapura untuk bekerja.
Zarina pula menambah, anak guam mereka tiada rekod jenayah, bukan risiko melarikan diri, dan bersedia untuk berkerjasama penuh, termasuk melapor diri di balai polis Johor setiap bulan.
Mahkamah Putuskan: Jaminan RM12,000, Lesen Digantung
Selepas mempertimbangkan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah akhirnya menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin tempatan.
Tertuduh juga diwajibkan melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan, dan lesen memandunya digantung sementara menunggu kes selesai.
Tarikh 10 Jun 2025 ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
BACA JUGA :
Indonesia umum henti import minyak dari Singapura
Rakyat Singapura rasa kaya di Malaysia, hakikatnya miskin di negara sendiri
Tiada ‘tongkat’ tapi gagah berdiri, ini sebab Melayu Singapura berjaya