PENDAPAT | Muhaimin Sulam
Sebuah masjid di zaman Belanda
Suatu petang ketika jalan pulang ke rumah, saya singgah sembahyang di masjid Bukit Peringgit. Sudah berulang kali melewati masjid itu. Rasa bersalah tidak singgah di masjid lama itu. Saya parking di tepi jalan di hadapan rumah penduduk setempat. Orang memandang saya semacam. Mungkin berambut panjang dan tidak memakai kopiah. Memang saya bukan orang tempatan. Silap saya juga. Sepatutnya datang berkopiah atau bersongkok.
Sambil berjalan ke tempat mengambil air sembahyang, saya baca papan penerangan tentang masjid. Imam sudah bersiap sedia. Saya ambil foto dan terus mengambil air sembahyang dan pergi ke saf. Selepas solat, saya mengambil masa pergi melawat keliling masjid itu seperti pegawai nazir masjid mencari sesuatu.
Alkisahnya begini. Setelah Melaka ditawan oleh Portugis pada 1511 hingga 1641, Bukit Peringgit dijadikan pos kawalan Portugis bagi berhadapan dengan serangan orang-orang Naning. Jarak antara Bukit Peringgit dengan Kota A Farmosa kira-kira lima kilometer. Oleh sebab itu, kawasan berbukit di Bukit Peringgit sangat strategik mengawal keselamatan kota A Formasa. Orang Melaka memanggil Portugis dengan nama Farenggi dan nama tempat ini sebutnya dikenali asalnya sebagai Bukit Farenggi dan akhirnya menjadi Bukit Peringgit. Lidah orang Melaka, agaknya begitu.
Pada 1741, Belanda dengan bantuan Acheh, Johor dan orang tempatan telah berjaya merampas kota Melaka daripada Portugis. Walau bagaimanapun, Belanda mendapat kuasa mentadbir Melaka sehingga pada 1824 selepas Perjanjian Inggeri Belanda. Putar belit Belanda boleh tahan juga. Sampai Acheh, Johor dan orang tempatan minum kuah sahaja.
Pada zaman Inggeris, tempat ini merupakan tempat kediaman pegawai-pegawainya. Di sini juga ditempatkan bekas Kediaman Rasmi Ketua Menteri dan beberapa rumah pembesar negeri pada zaman Inggeris hinggalah merdeka. Bekas Ketua Menteri Melaka zaman PH, Adly Zahari pernah tinggal di sini.
Masjid di Bukit Peringgit yang asalnya dibina pada 1726 (1141H) tetapi telah musnah akibat satu kebakaran. Ia dibina semula pada 1868 (1293H) ketika zaman Melaka dibawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat. Ia merupakan tapak masjid tertua di Melaka yang masih ada. Lebih tua daripada Masjid Kampong Hulu yang dibina pada 1728 dan Masjid Tengkera pada tahun yang sama.
Masjid ini berbentuk masjid tradisional Melaka yang berbentuk empat segi, bahan binaan terdiri daripada batu laterite dan batu bata era Belanda. Loteng, perabung, kekisi tingkap dan pintu diperbuat dari kayu. Masjid ini mempunyai tiga lapisan bumbung yang merupakan ciri utama masjid tradisional Melaka. Gentingnya pada bumbung utama dan tengah dari Belanda. Manakala genting verandah pula berasal dari China. Bahagian puncak kubahnya diperbuat dari batu karang berukir yang kekal hingga hari ini.
Pada 1978 hingga 1979, kerajaan negeri Melaka membuat pembesaran yang menyebabkan tangga utama, perigi, kolah, susunan terracotta dan bata-bata era Belanda di halaman ditukar dengan bahan binaan baru. Genting China dan genting Belanda telah ditukar dengan jubin moden. Di hadapan mihrab masjid terdapat perkuburan orang Islam lama yang masih digunakan.Terdapat sebahagian tanah perkuburan terletak terletak di seberang jalan masjid.
Masjid ini digunakan untuk solat fardhu berjemaah dan sejak Masjid Negeri al Azim siap pada 1988. Sejak itu masjid ini tidak digunakan untuk solat Jumaat. Ini tiada kena mengena tentang DAP di Melaka. Pada 2002, Jabatan Muzium dan Antikuiti melaksanakan kerja-kerja korservasi dengan mengembalikan bentuk asal Masjid Peringgit. Terima kasih kepada pihak berwajib yang menjalankan usaha murni ini. Setidak-tidaknya ada bukti walaupun tanah dijajah oleh orang bukan Islam, masjid tetap dibina dan diimarahkan orang Islam. Masjid ini adalah saksinya.
DR. MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.