Pengurus, penolong pengurus NADI terima insentif Aidilfitri RM1,000 – Fahmi

Oleh Admin 06

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kerajaan meluluskan pemberian insentif khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada seramai 2,196 Pengurus dan Penolong Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata bantuan berbentuk sekali bayar itu merupakan penghargaan kerajaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh petugas NADI dalam membantu komuniti setempat.

Menurut beliau, ini merupakan kali pertama golongan tersebut menerima sumbangan khas sempena musim perayaan.

“Sebelum ini mereka tidak pernah menerima apa-apa insentif sempena Aidilfitri atau perayaan lain. Jadi saya merasakan sudah tiba masanya kerajaan menghargai usaha mereka yang bertugas enam hari seminggu.

“Mereka bukan sahaja menguruskan pusat NADI, malah sering membantu komuniti sebagai pembimbing kepada usahawan, pendidik kepada kanak-kanak serta menjalankan pelbagai khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Bazar Raya NADI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan kesemua 1,098 pusat NADI di seluruh negara akan menganjurkan Bazar Raya secara serentak pada 14 Mac ini sebagai sebahagian usaha memeriahkan sambutan Aidilfitri di peringkat komuniti.

Menurutnya, bazar tersebut turut melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang yang akan mengadakan sesi jualan kepada orang ramai.

Beliau berkata inisiatif itu juga memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk masing-masing selain merancakkan aktiviti ekonomi komuniti menjelang musim perayaan.