SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menegaskan keputusan Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja tidak harus ditafsir sebagai kegagalan Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab sebagai fasilitator serantau.
Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan Bangkok itu lebih didorong oleh faktor dalaman seperti tekanan politik serta isu keselamatan di kawasan sempadan, bukannya berpunca daripada kelemahan diplomasi Malaysia.
“Insiden letupan periuk api di wilayah Si Sa Ket yang mencederakan anggota tentera Thailand menjadi pencetus kepada keputusan kerajaan Thailand menggantung pelaksanaan deklarasi damai berkenaan.
“Namun, dari perspektif diplomatik, langkah tersebut tidak boleh dianggap sebagai kegagalan proses perdamaian. Ia lebih kepada tindakan sementara bagi meredakan tekanan ketenteraan dan politik dalam negeri,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Terdahulu, Thailand mengumumkan penggantungan gencatan senjata dengan Kemboja serta menuduh negara jirannya itu menanam periuk api baharu di kawasan sempadan yang masih menjadi pertikaian.
Menteri Pertahanan Thailand, Natthaphon Narkphanit, turut mengesahkan bahawa Bangkok menunda pelaksanaan perjanjian tersebut dan tidak akan memulangkan 18 tahanan perang Kemboja seperti yang dipersetujui dalam rundingan awal.
Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetus semula konflik bersenjata, selepas kedua-dua negara pernah berdepan pertempuran berdarah selama lima hari pada Julai lalu yang meragut puluhan nyawa – antara krisis sempadan paling serius sejak era kolonial.
Perjanjian damai antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, dimeterai pada 26 Oktober di Kuala Lumpur dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan bahawa Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator berkecuali, bukan penentu syarat atau kandungan perjanjian, dan pendekatan itu telah dipersetujui serta dihormati oleh kedua-dua pihak sejak awal rundingan.
“Malaysia mesti terus berpegang kepada prinsip neutral, mengamalkan diplomasi senyap (quiet diplomacy) dan membina keyakinan berterusan agar kepercayaan kedua-dua negara terhadap keikhlasan Kuala Lumpur tidak tergugat,” ujarnya.
Beliau turut menolak tuduhan seorang bekas jeneral Thailand yang melabel Malaysia sebagai “musuh dalam selimut ASEAN”, menyifatkannya sebagai retorik politik domestik yang tidak mencerminkan pendirian rasmi Bangkok.
Menurut beliau, PN berpandangan bahawa penggantungan perjanjian tersebut tidak menjejaskan kredibiliti ASEAN, sebaliknya menjadi ujian taktikal terhadap kemampuan blok serantau itu menangani konflik secara aman dan diplomatik.
“ASEAN masih memiliki ruang dan keupayaan untuk memulihkan rundingan, antaranya melalui penubuhan Panel Teknikal Bersama bagi menyiasat insiden periuk api serta menilai semula garis sempadan berdasarkan indikator keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, berpendapat bahawa keputusan menggantung pelaksanaan perjanjian damai tersebut lebih banyak dipengaruhi oleh tekanan dalam tentera Thailand, bukan kerana sebarang kelemahan Malaysia.
Katanya, langkah itu juga merupakan mesej politik dalaman bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Anutin dan bukan tanda penolakan terhadap peranan Malaysia atau ASEAN.
“Penangguhan ini berkemungkinan bersifat sementara kerana Thailand masih memerlukan kerjasama ASEAN dan Washington bagi menstabilkan situasi di sempadan serta menangani tekanan geopolitik semasa,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan diplomasi Malaysia yang berasaskan kesederhanaan dan penyelesaian damai terus diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Menuding jari kepada Malaysia sebagai pihak yang gagal tidak berasas sama sekali. Kuala Lumpur kekal memainkan peranan penting dalam memastikan kedua-dua negara kembali ke meja rundingan,” tegas Collins.