KOTA KINABALU, — Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan, pengasas sebuah pusat tahfiz di Semporna, sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Pengumuman tersebut dibuat semasa Konvensyen Amanah Negeri Sabah 2025, yang dirasmikan oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, di sini pada Ahad.
Mohd Julpikar, yang juga seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat, aktif dalam bidang pendidikan, dakwah dan pembangunan komuniti di daerah Semporna. Beliau turut terlibat sebagai usahawan dalam sektor pendidikan dan kemasyarakatan, menjadikannya antara figura muda berpotensi yang membawa gagasan politik berteraskan nilai dan pembangunan rakyat di peringkat negeri.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah dan Undang-Undang) dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia, dan pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.
Dalam ucapannya, Mohamad menyeru agar semua jentera Amanah digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi PRN yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“PRN Sabah nanti memerlukan kesungguhan dan gerak kerja yang tersusun dari setiap peringkat. Amanah mesti berusaha keras untuk mendapatkan kerusi sulung kita di negeri ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kemenangan sebenar tidak hanya diukur melalui undi, tetapi juga melalui keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan istiqamah perjuangan parti.
“Dengan semangat kerja berpasukan dan keikhlasan dalam perjuangan, saya yakin Amanah mampu menawan hati rakyat Sabah serta membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri,” tambahnya.
Untuk rekod, kerusi DUN Sulabayan kini disandang oleh Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong, yang memperoleh 5,747 undi dalam pertandingan tiga penjuru pada PRN lalu.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mengumumkan calon masing-masing secara serentak pada 9 September depan.