Realtime website trackingweb stats

Peneroka tanggung hutang tak masuk akal

Oleh ADINDA

Redhuan Esa

KENAPA HUTANG PENEROKA DIHAPUSKAN?

Dalam Perjanjian Tanam Semula, FELDA bersetuju untuk menyediakan penyata kewangan interim setiap 3 bulan dan penyata kewangan lengkap tahunan. Jawatankuasa Tanam Semula di 317 rancangan yg diketuai Pengurus FELDA dan FTP bertanggungjawab membentang perbelanjaan kos operasi ladang dengan telus dan disemak imbang oleh peneroka.

Namun apa yang berlaku, FELDA gagal menyediakan penyata hutang yang telus dimana nilai-nilai yang dinyatakan diragui serta dipertikai oleh peneroka sehingga peneroka mengambil keputusan ambil alih pengurusan ladang dari pengurusan FELDA. Ladang peneroka tidak diuruskan dengan baik dimana kos operasi terus dicaj namun kerja diladang tidak dilaksanakan dengan baik. Nilai yang dicaj juga tidak dapat dibuktikan secara beraudit dan mengikut prosedur perakaunan.

Kesannya hutang peneroka melambung tinggi

2017: RM5 Bilion

2018: Kenyataan Pengarah Besar FELDA RM7.5 Bilion
Laporan Kewangan FELDA: RM5.65 Bilion

2021: RM12 Bilion

Apa pun nilai hutang peneroka yang dilaporkan oleh FELDA tidak dapat diterima oleh Peneroka malah Ketua Audit Negara juga menolak nilai tersebut melalui Laporan Kewangan FELDA 2018.

FELDA melalui pengerusi dan Pengarah sejak 2016 berulang kali berjanji untuk memuktamadkan penyata kewangan Peneroka tetapi sehingga hari ini masih gagal dan membawa kepada keputusan untuk menghapuskan sebahagian hutang peneroka yang tidak sah bernilai RM8.3 bilion.

Apa itu HUTANG PENEROKA?

1. HUTANG PEMBANGUNAN
– Hutang pembangunan adalah hutang bagi kos pembangunan rancangan FELDA dari penebangan hutan sehinggalah pokok getah/sawit ditanam serta rumah. Anggara hutang ini adalah sekitar RM20 – RM40 ribu mengikut faktor mukabumi dan keluasan ladang.

– apabila hutang ini selesai dibayar oleh peneroka termasuk cukai tanah yg ditetapkan kerajaan, peneroka menerima geran tanah mereka.

2. HUTANG KEDAI
– Peneroka meminjam dari kedai FELDA dalam bentuk makanan. Ini kerana pada waktu ladang belum berhasil, peneroka tiada pendapatan dan perlu meminjam untuk kehidupan.

3. HUTANG SOSIAL
– FELDA menawarkan pinjaman sosial seperti pembesaran rumah, pembelian komputer, sokongan perniagaan dan pinjaman saham FGV

REPLIKA rumah peneroka asal yang terdapat di FELDA Trolak Timur, Sungkai, dekat sini. Sumber NSTP

4. HUTANG TANAM SEMULA
– Apabila pokok sawit/getah tidak lagi produktif dan memberikan pendapatan yang ekonomik, pokok sawit/getah perlu ditebang dan ditanam semula. Pada waktu ini peneroka diberikan satu perjanjian tanam semula dimana ia mengikat antara Peneroka dan FELDA dalam terma-terma tertentu.

a. Peneroka diberikan pilihan untuk mengusahakan sendiri tanpa apa-apa pinjaman dari peneroka dengan syarat menghantar hasil ke kilang yang FELDA tetapkan. Tabung tanam semula yang dikumpul oleh peneroka dipulangkan semula.

b. Peneroka menyerahkan ladang untuk tanam semula selama 36 bulan bagi sawit 72 bulan bagi getah. Selepas tempoh ini, peneroka boleh ambil alih pengurusan ladang untuk diusahakan sendiri. Peneroka boleh memohon PINJAMAN SARA HIDUP sepanjang Tanam Semula.

c. Peneroka menyerahkan ladang sepenuhnya untuk tanam semula dan pengurusan ladang sehingga tanam semula berikutnya (20 – 25 tahun) mengikut keadaan umur pokok yg produktif. Peneroka diberikan pilihan untuk

i. PINJAMAN SARA HIDUP (Kadar terbaru RM1200 – RM1500 /BULAN) selama 36 bulan bagi sawit dan 72 bulan bagi getah

ii. PINJAMAN PENDAHULUAN HASIL – pinjaman ini diberi apabila pokok mengeluarkan hasil tetapi tidak capai pendapatan ekonomik. Tahun ke 4 hingga tahun ke 8 bagi sawit, Tahun ke 6 hingga tahun ke 10 bagi getah. Apabila tempoh pendahukuan hasil tamat, jumlah hasil akan dikira dan ditolak dengan jumlah pinjaman yang diberikan.

iii. KOS OPERASI LADANG
– Kos operasi ladang dicaj kepada peneroka yang diuruskan oleh FELDA. Ia termasuklah kos buruh, pengangkutan hasil, baja, racun, kawalan penyakit, selenggara ladang dan jalan pertanian. Sekiranya hasil rendah dari RM1000, kos ini akan ditangguh potongannya dan dikira sebagai hutang.

iv. CAJ PERKHIDMATAN
– Keseluruhan jumlah pinjaman, kos dan hutang diatas akan dikenakan CAJ PERKHIDMATAN 4 – 6.25% / tahun oleh FELDA.

Redhuan Esa, generasi kedua dan ketiga peneroka Felda. Ahli jawatankusa Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)