Penangan pelakon Fattah Amin buat pertama kalinya membintangi filem Indonesia dengan memegang watak dukun, ramai rakyat republik itu mahu mengenali suami Nur Fazura itu.
Fattah, 33, mengakui menerima banyak kiriman mesej dalam Instagram (DM) yang dihantar oleh peminat dari Indonesia.
Mereka meninggalkan kata-kata ‘salam kenal’ kepada bapa kepada Nur Fatima Aisya, 3 tahun, itu.
Penampilannya dalam filem berjudul ‘Trinil: Kembalikan Tubuhku’ mendapat sambutan baik daripada penonton sehingga meraih pujian masyarakat di sana.
“Peminat yang mesej dalam Instagram pun ramai. Rata-rata meninggalkan komen salam kenal kepada saya,” jelasnya.
Dalam filem arahan Hanung Bramantyo itu, Fattah sebagai Yusof merupakan seorang dukun.
Juara Hero Remaja 2011/2012 itu harus membantu pasangan suami isteri, Rara lakonan Carmela van der Kruk dan Sutan (Rangga Nattra) menghalau hantu penanggal yang mengganggu hidup mereka.
Kata Fattah, pembabitannya dalam filem itu mungkin membuatkan penonton di sana yang belum mengenalinya tertanya-tanya.
“Ada segelintir penonton dari Indonesia sudah mengenali saya menerusiu filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang pernah di tayangkan di sana.
“Trinil: Kembalikan Tubuhku pula merupakan sebuah filem seram.
“Jadi, peminat filem genre itu baru hendak mengenali saya. Filem ini pula diarahkan seorang pengarah hebat,” katanya dipetik Kosmo.
Oleh sebab itu, ujarnya, apabila watak Yusuf diperkenalkan, penonton dari Indonesia jadi tertarik sehingga ada yang beremosi dengan lakonannya.
“Itu yang buatkan saya rasa seronok,” tambah anak daripada keluarga yang berasal dari Bagan Datuk, Perak itu lagi.
Filem ‘Trinil: Kembalikan Tubuhku’ telah berjaya menarik penonton seramai 13 juta penonton ke pawagam sejak ditayangkan di Indonesia pada 4 Januari lalu.
Berkisarkan tentang hantu penanggal, filem itu merupakan sebuah naskhah popular yang diinspirasikan daripada sebuah drama radio yang cukup popular di Indonesia era 1980-an.
Turut dibintangi pelakon handalan seperti Carmela van der Kruk, Rangga Nattra, Wulan Guritno, Shalom Razade, Alexzander Wlan, Willem Bevers dan Elly D. Luthan.
Rupanya, naskhah filem ini merupakan terbitan rumah produksi Malaysia, Seven Skies Motion Sdn. Bhd.
Penonton di Malaysia boleh menyaksikan ‘Trinil: Kembalikan Tubuhku’ yang mulai ditayangkan 22 Februari.
Baca:
Nama melonjak hari demi hari puncak kegemilangan karier seni Amelina ratu dangdut Malaysia
Kekacang bagus untuk kesihatan, ikuti resipi ringkas untuk buat biskut florentine ‘crunchy’
Lelaki diikat & dibelasah hingga mati selepas terlibat kemalangan langgar lari