Realtime website trackingweb stats

Pemuda ‘tuai hasil’ kena kanser selepas 6 tahun merokok, ada 7 penyakit bakal dihidapi akibat langgar fatwa

Oleh SHAZLIN AZIZ

Seorang pemuda baru berumur 21 tahun sudah pun disahkan diserang kanser paru-paru. Dia dikatakan merokok sejak Tingkatan Tiga iaitu ketika berusia 15 tahun.

Kes kanser itu didedahkan seorang warganet yang kemudiannya dikongsikan laman Facebook, Public Health Malaysia.

“Lihat ketulan yang berwarna putih di sebelah paru-paru ini. Itu adalah gugusan sel kanser di paru paru perokok yang berusia 21 tahun ini,” katanya.

Ini bermakna, ‘hanya’ enam tahun anak muda itu merokok, dia sudah ‘menyumbang’ kepada angka rakyat Malaysia yang terjejas dengan penyakit seperti kanser, sakit jantung dan penyakit berkaitan paru-paru akibat komplikasi merokok.

Masalahnya, bukan sahaja perokok yang berisiko kena penyakit malah mereka di sekeliling perokok terutamanya ahli keluarga juga terdedah kepada ancaman penyakit akibat asap rokok.

Rupanya ada 7 penyakit bakal dihidapi oleh mereka yang masih tegar melanggar fatwa pengharaman tabiat merokok ‘e-cigarette’:

1. Psoriasis

Merokok tidak secara langsung menyebabkan gatal-gatal dan gangguan plak autoimun kulit. Bagaimanapun, ada dua perkara yang penyelidik dari Yayasan Psoriasis Kebangsaan nyatakan mengenai psoriasis:

Pertama, ia mempunyai kaitan dengan genetik. Kedua, merokok lebih dua kali ganda kemungkinan akan menyebabkan psoriasis dalam kalangan mereka yang merokok.

2. Gangren

Anda mungkin pernah mendengar gangren. Ia berlaku apabila tisu dalam badan anda terurai dan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan.

Apabila kaki tidak dapat bekalan darah mencukupi, ia membawa kepada gangren.

Merokok dalam jangka panjang menyebabkan saluran darah disekat dan mengurangkan aliran darah.

3. Mati pucuk

Merokok dalam jangka panjang menyekat saluran darah yang menyebabkan berlakunya gangren, selain boleh menyekat bekalan darah ke alat kelamin lelaki.

Mengikut portal MyHEALTH merokok boleh menyebabkan kesan berbahaya kepada sistem pernafasan dan kardiovaskular, tetapi juga kepada kesuburan lelaki.

Merokok juga akan menghasilkan morfologi sperma yang tidak normal. Sperma penting untuk menyuburkan telur dan meneruskan keturunan.

Jadi, adakah pengambilan pil seperti viagra atau cialis akan berfungsi untuk ‘keunggulan’ lelaki? Mungkin juga tindak balas bahan kimia dalam badan aktiviti merokok sekali gus menjadikan disfungsi erektil (ED) kepada perokok lelaki dan pengambilan ubat berkenaan mungkin tidak berguna.

4. Strok

Aktiviti merokok boleh menyebabkan salur darah tersumbat di dalam otak. Kerosakan ini disebabkan oleh kesan nikotin yang menjadikan salur darah akan menjadi tebal dan sempit sehingga menyukarkan aliran darah.

Walaupun saluran darah bertindak balas terhadap karsinogen, bahan itu akan menyebabkan berlakunya pembekuan darah berbahaya yang dibawa ke dalam sistem otak.

Jika pembekuan darah tidak membawa maut, ia mungkin masih boleh menyebabkan anda mengalami kerosakan otak yang serius.

Mengikut laporan Global Burden of Disease (GBD) kejadian strok akibat merokok juga meningkat setiap tahun di seluruh dunia.

5. Kebutaan

Degenerasi makula akan menyebabkan anda tidak dapat melihat akibat merokok, selain boleh menyebabkan peraliran darah pada mata disekat. Ia juga boleh menyebabkan anda buta secara kekal.

6. Penyakit cakera degeneratif

Tulang belakang mempunyai fungsi tersendiri, namun merokok akan mempercepatkan proses degenerasi.

Cakera antara vertebra akan kehilangan cecair dan tidak dapat melindungi serta menyokong vertebra dengan betul, mengakibatkan anda sakit belakang yang kronik, cakera hernia, dan mungkin mendapat osteoartritis (OA).

7. Lain-lain kanser

Anda pernah mendengar mengenai kanser paru-paru, ia perkara pertama penyakit yang anda deritai sebagai amaran supaya berhenti merokok.

Malah, merokok juga berisiko anda mendapat kanser, seperti kanser hati, buah pinggang atau pundi kencing, bibir atau mulut, tekak atau esofagus, perut atau kolon, pankreas dan serviks.

Jika anda sudah bersedia untuk berhenti, sebenarnya ada banyak cara memulakan langkah berkenaan.

Ia bukanlah jalan yang mudah, tetapi dengan petua dan sokongan yang betul, perjalanan untuk anda bebas daripada ketagihan merokok menjadi lebih mudah.

Baca:

Konflik terbesar dalam sejarah dunia melibatkan 60 juta askar, ini fakta perang dunia pertama yang jarang disebut

“Itu keputusan paling sukar dalam hidup” – Aedy Ashraf

Cubaan fitnah pejuang Hamas tapi guna imej AI sangat buruk, Sofyank anggap ‘percubaan yang baik’