KOTA KINABALU — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah sebagai bukti bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar memahami harapan dan aspirasi rakyat negeri itu.
Menurut beliau, langkah tersebut menggambarkan komitmen tulen Perdana Menteri dan kerajaan Perpaduan dalam menghormati serta melaksanakan hak yang telah dijamin kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam setiap pertemuan saya dengan Perdana Menteri, saya menegaskan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan sepenuhnya.
“Keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan ini membuktikan wujudnya hubungan kerja yang erat dan saling menghormati antara kerajaan negeri pimpinan GRS dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hajiji berkata, penghormatan terhadap keputusan mahkamah itu merupakan langkah penting ke arah memperkasa pembangunan Sabah, terutama dalam usaha merapatkan jurang kemajuan dengan Semenanjung Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa masih banyak kawasan luar bandar di Sabah memerlukan perhatian khusus, termasuk dalam aspek infrastruktur, pertanian, pendidikan dan kemudahan asas.
“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Kini yang diperlukan ialah tindakan segera serta kemahuan politik yang jujur untuk melaksanakan hak pemberian khas 40 peratus itu,” katanya lagi.
Ketua Menteri turut menzahirkan kesediaan kerajaan negeri untuk terus berunding secara konstruktif dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan keputusan mahkamah dapat direalisasikan sebaik mungkin.
Beliau pada masa sama mengajak rakyat Sabah supaya terus memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, yang menurutnya telah menunjukkan keikhlasan dalam memperjuangkan hak negeri itu.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung perkara tersebut dan akan memulakan rundingan rasmi dengan kerajaan negeri Sabah dalam masa terdekat.