Realtime website trackingweb stats

Pemberi maklumat di Malaysia tak selamat?

Oleh NURAIMAN

Bayangkan anda seorang pelajar perempuan di sekolah menengah berasrama penuh di Malaysia.

Anda hanya boleh bertemu keluarga mungkin beberapa minggu sekali, jadi anda terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa terdekat seperti cikgu atau kakitangan sekolah.

Suatu hari, semasa anda sedang menukar pakaian di tandas, tiba-tiba seorang cikgu lelaki keluar dari salah satu bilik tandas tersebut.

Kejadian ini didakwa berlaku di kalangan pelajar MRSM Tumpat, sebuah sekolah berasrama penuh di Kelantan,

Dan cerita ini dikongsi di Twitter/X oleh salah seorang bekas pelajar di situ, @naylisabirawr_. Namun, itu bukanlah segala-galanya…

Pemberi maklumat di Malaysia tak selamat?

Dakwaan mendakwa cikgu tersebut sudah lama mempunyai tabiat tidak senonoh

Bekas pelajar tersebut juga mendakwa bahawa ketika dia berusia 13 tahun dan masih belajar di MRSM Tumpat, para senior sering memberi amaran tentang seorang cikgu yang akan menghantar mesej berbaur lucah kepada sesiapa yang menarik perhatiannya.

Beberapa tangkap layar yang dikongsi menunjukkan bahawa mesej-mesej yang dihantar kepada pelajar-pelajar tersebut agak mencurigakan…

Terdapat juga dakwaan bahawa cikgu tersebut pernah memasuki bilik asrama pelajar perempuan untuk melakukan pemeriksaan mengejut dan dituduh mengambil gambar beberapa pakaian yang disidai, termasuk seluar dalam.

Imej dari akaun X @naylisabirawr_. Sama ada dakwaan-dakwaan ini benar atau tidak, kes ini menunjukkan isu yang penting…

Sesetengah undang-undang Malaysia menyukarkan mangsa gangguan seksual (atau jenayah lain) untuk bersuara

Mungkin anda tidak tahu, tetapi jika anda menceritakan kes gangguan seksual yang anda alami secara langsung kepada orang lain, memuat naik di media sosial, atau menghantar mesej melalui WhatsApp sekalipun, anda boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Salah satu cara anda boleh dikenakan tindakan ialah dengan disaman kerana fitnah. Jika anda bercakap, menulis, memuat naik, menghantar emel, WhatsApp, atau seumpamanya yang:

Merendahkan reputasi seseorang di mata orang ramai;
Mendedahkan identiti atau merujuk kepada individu tersebut secara langsung atau tidak langsung; dan
Menutur, menerbitkan, atau menghantar perkara tersebut;
…anda boleh didakwa kerana fitnah. Jika individu yang anda laporkan tidak menyaman anda, kerajaan boleh mendakwa anda di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Selain itu, terdapat juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 1998), yang menjadikan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara ‘tidak wajar’ sebagai kesalahan.

“(1) Seseorang yang—

(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar—

(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan

(ii) memulakan penghantaran,

apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganayai, mengugut atau mengganggu orang lain; …

melakukan suatu kesalahan.”

Ini termasuk penyebaran kata-kata berbaur fitnah di media sosial. Sekarang, @naylisabirawr_ sedang disiasat polis di bawah Kanun Keseksaan dan CMA 1998 kerana cikgu tersebut telah membuat laporan polis pada 31 Mac. Dalam salah satu hantaran Xnya, dia juga sedang disaman sebanyak RM3 juta.

Jika anda rasa tidak melakukan kesalahan dari segi undang-undang apabila memberi maklumat kepada orang awam disebabkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, anda silap. Akta ini hanya melindungi pemberi maklumat yang melaporkan salah laku kepada agensi kerajaan yang berkaitan dan tidak akan melindungi anda jika anda menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Jadi, memang sukar untuk mendedahkan salah laku, sama ada dari segi undang-undang atau moral, tanpa terkena tempias. Bukan kerana tidak mencuba, tetapi…

Ramai rakyat Malaysia sudah didakwa kerana bersuara

Ingat lagi kes Ain Husniza? Dulu, Ain dan ayahnya turut disaman fitnah selepas mengkritik cikgu mereka yang didakwa membuat lawak rogol di bilik darjah pada tahun 2021.

Mereka sekeluarga terpaksa berpindah dari Puncak Alam ke Cheras kerana kecaman yang diterima dari sekolah, pelajar lain, dan jiran-jiran terlalu hebat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula diam sepanjang kes tersebut.

Kemudian, ada pula kes Lalitha Kunaratnam, yang pernah menulis tentang kepentingan perniagaan Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada tahun 2021. Dia menyatakan perkaitan Azam dengan dua syarikat tersenarai, termasuk dokumen sokongan yang boleh diakses orang awam.

Lalitha kemudian disiasat polis di bawah Seksyen 233 CMA 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, dan Azam Baki menyaman Lalitha kerana fitnah, mendakwa penulisan Lalitha menggambarkan dirinya sebagai ‘penjawat awam korup yang menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai kanan SPRM’.

Bukan dua kes ini sahaja yang pernah berlaku. Al Jazeera, saluran berita Qatar yang dianggap kredibel juga pernah dikenakan tindakan di bawah CMA 1998 dan Akta Hasutan.

Jadi, bagaimana nak melaporkan salah laku? Jika anda atau kenalan anda diganggu secara seksual oleh pedofil atau dianiaya, pilihan terbaik adalah melaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis, SPRM, SKMM, atau mana-mana pihak yang sesuai. Faham jika anda ingin memalukan orang yang telah melakukan kesalahan dengan viralkan isu tersebut, tetapi…

Undang-undang sekarang tidak menyebelahi pemberi maklumat yang ingin mendedahkan kes kepada orang awam, dan undang-undang sedemikian bertujuan untuk mengelakkan fitnah.

Kami memahami jika anda menjadi mangsa gangguan seksual dan rasa sukar untuk bersuara; situasi tersebut sangat menakutkan. Namun, penting untuk kita elakkan ditimpa masalah tambahan selepas masalah utama.

Berbalik kepada situasi di MRSM Tumpat dan kes antara @naylisabirawr_ serta cikgu yang dituduh, kami akan memberikan kemas kini jika terdapat berita baru. Sekian.

BACA: Cerek elektrik ada kesan karat? Ikuti tip ini menjadi dan jimat duit