Pemandu Navara dipenjara 30 hari dan didenda RM12000. Seorang lelaki yang tular kerana merempuh motosikal dinaiki pasangan suami isteri di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Duta, kini menerima padah atas kelalaiannya. Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 ke atas pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara itu.
Tertuduh, K. Darmaraju, 32 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu yang menyebabkan kecederaan parah kepada dua mangsa. Majistret Khairunnisak Hassni turut memerintahkan agar hukuman penjara bermula pada 11 Mei, tarikh dia ditahan pihak berkuasa.
Sekiranya gagal membayar denda, Darmaraju boleh dipenjara tambahan selama 12 bulan. Bagaimanapun, dia difahamkan telah menjelaskan bayaran denda tersebut.
Menurut pertuduhan, insiden berlaku kira-kira jam 2.30 petang pada 10 Mei lalu ketika tertuduh memandu secara berbahaya di laluan menghala ke pusat bandar sebelum memasuki Plaza Tol Jalan Duta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu selama minimum lima tahun.
Kejadian tersebut menggemparkan ramai setelah rakaman insiden tular di media sosial. Pasangan suami isteri yang menjadi mangsa kemalangan dilaporkan parah. Suami, 53 tahun, mengalami retak tulang selangka dan kecederaan pada buku lali, manakala isteri, 49 tahun, cedera parah dengan pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.
Insiden ini sekali lagi membuka mata ramai tentang pentingnya pemanduan berhemah di jalan raya dan bagaimana satu tindakan cuai boleh merubah hidup orang lain dalam sekelip mata.
BACA JUGA :
Adik Along Cham dedah, kakak ipar punca abang ditangkap Polis
ICC keluar waran tangkap PM Israel, ini fungsi ICC yang ramai patut tahu
Cuba pukul lalat tak dapat, ini cara tangkap lalat hanya guna 3 bahan ini je!