Pemain bola sepak diberkas, bukan sebab tendang bola, tapi tendang pintu rumah orang. Seorang bekas pemain bola sepak dilaporkan terlibat kes pecah rumah yang berlaku di Benut, Pontian Johor. Lelaki berusia 33 tahun itu telah ditahan pihak polis selepas cuba bertindak agresif.
Kes pecah rumah itu dilaporkan berlaku pada Isnin lalu di mana mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
Suspek bertindak agresif apabila polis cuba menahannya menyebabkan berlaku sedikit pergelutan kerana dia tidak mahu memberikan kerjasama.
Hasil siasatan, suspek mengakui melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan semalam.
Kejadian ini disahkan Timbalan Ketua Polis Pontian, Deputi Superintendan Abdul Hamid dan kes masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Setakat ini, identiti suspek tidak didedahkan. Bagaimanapun, suspek dikatakan merupakan bekas pemain bola sepak dan pernah beraksi bersama pasukan gergasi Liga Super di Selatan dan Utara tanah air. Suspek juga pernah bermain di Liga Thailand selama dua tahun dan bermain di Liga Jepun.
Kali terakhir beraksi adalah pada tahun 2018 Liga Super dan kemudian menukar haluan dengan bermain bersama pasukan Liga M3.