Peluasan SST: Kerajaan fokus tingkat bantuan kepada rakyat – Amir Hamzah

Oleh NOR SITI HAZLINDA

PUTRAJAYA, 7 Julai 2025 – Kerajaan mengambil pendekatan pragmatik dalam mereformasi sistem percukaian negara apabila memilih untuk memperkukuh dan memperluas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berbanding mengembalikan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pelaksanaan semula GST dianggap tidak praktikal ketika ini, memandangkan ekonomi masih berada dalam fasa penyesuaian pascapandemik, dan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

“GST adalah cukai menyeluruh yang memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat. Ia memerlukan sistem pematuhan dan persiapan semula yang kompleks, bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga di peringkat sektor swasta,” katanya kepada media baru-baru ini.

Struktur Cukai Disesuaikan Dengan Keperluan Semasa

Jelas Amir Hamzah, sejak GST dimansuhkan pada 2018, banyak syarikat telah menyesuaikan semula sistem perakaunan dan operasi mereka. Sekiranya GST ingin dilaksanakan semula, ia akan memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk penyelarasan semula sistem tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan memilih untuk menambah baik struktur SST sedia ada. Kadar SST telah dinaikkan daripada 6% kepada 8% bermula 1 Mac 2024, namun langkah itu dilaksanakan secara berhemah dengan menggunakan pendekatan “gelembung cukai” – iaitu hanya barangan dan perkhidmatan tertentu dikenakan kadar baharu.

“Barangan asas seperti beras, ayam, minyak masak, dan ubat-ubatan kekal tidak dikenakan SST. Pendekatan ini lebih bersasar dan tidak membebankan golongan B40,” tambah beliau.

Hasil Cukai Dikembalikan Kepada Rakyat

Antara impak langsung daripada peluasan SST ialah pertambahan hasil negara yang digunakan untuk memperluas program bantuan sosial kepada rakyat. Melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kerajaan berjaya memperluas liputan bantuan kepada lebih 5.4 juta penerima, berbanding 700,000 sebelum ini.

Penerima STR dan SARA menerima antara RM50 hingga RM200 sebulan bergantung kepada kategori dan jumlah tanggungan.

“Inilah pendekatan Ekonomi Madani. Kita kutip hasil dari sektor yang mampu dan salurkan terus kepada rakyat yang memerlukan,” tegas Amir Hamzah.

GST Tidak Diketepikan, Tetapi Perlu Masa Yang Sesuai

Walaupun menolak pelaksanaan semula GST buat masa ini, Amir Hamzah tidak menolak kemungkinan sistem itu dikaji semula di masa hadapan.

“Kita akui GST adalah sistem yang menyeluruh dan mempunyai kelebihan dari segi ketelusan serta pengurusan rantaian nilai. Tetapi prasyarat ekonomi mesti dipenuhi terlebih dahulu – termasuk pendapatan rakyat yang mencukupi, sistem perniagaan yang bersedia, dan suasana ekonomi yang stabil,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang peralihan kepada GST perlu mengambil kira kemampuan rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

“Apabila gaji minimum mencecah RM4,000 sebulan dan sistem bersedia sepenuhnya, barulah kita boleh berbicara tentang GST semula.”

Keutamaan: Kestabilan Ekonomi dan Pendapatan Rakyat

Buat masa ini, kerajaan memberi fokus kepada usaha meningkatkan daya beli rakyat dan memperkukuh ekonomi domestik. Pendekatan ini termasuk penyasaran subsidi seperti RON95 serta peningkatan pendapatan melalui pelbagai inisiatif di bawah kerangka Ekonomi Madani.

Amir Hamzah menegaskan, kerajaan tidak terburu-buru dalam soal reformasi fiskal, dan segala langkah akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab terhadap kebajikan rakyat.