Peluasan Skop SST Kawal Kenaikan Harga, Lebih Sesuai Berbanding GST – Amir Hamzah

Oleh Admin 06

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu mengawal kesan berantai terhadap harga barangan kerana ia dilaksanakan secara bersasar dan tidak menyeluruh, jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, langkah ini hanya melibatkan barangan tertentu dan tidak melibatkan sebahagian besar keperluan asas harian rakyat.

“Apabila kita perluaskan SST, kita laksanakan dengan pendekatan yang terancang. Contohnya, ketika kadar SST dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus pada Mac lalu, ia tidak memberi kesan ketara kerana sistem ‘bubble’ yang dilaksanakan membantu menyekat impak berterusan.

“Jika dilihat pada kadar inflasi negara, ia masih terkawal – hanya sekitar 2.0 peratus tahun lepas. Ini membuktikan bahawa peluasan skop SST tidak membawa kepada lonjakan inflasi secara besar-besaran,” katanya dalam sesi podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa kerajaan memilih untuk memperluas cukai ini ke atas sektor tertentu dengan tujuan mengurangkan beban kepada kumpulan yang sepatutnya dibantu.

“Kita perlu bijak memilih sasaran. Jika kita memilih sektor yang betul, hasilnya akan sampai kepada kumpulan yang sewajarnya. Pendekatan bersasar ini lebih adil dan tidak membebankan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menambah bahawa hasil daripada SST telah digunakan untuk memperluas bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang kini memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima, berbanding hanya 700,000 sebelumnya. Bantuan ini merangkumi sokongan bulanan antara RM50 hingga RM200 bagi pembelian barangan asas.

SST Kekal Pilihan Terbaik Buat Masa Ini

Mengulas mengenai perbandingan antara SST dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Amir Hamzah menjelaskan bahawa walaupun GST dianggap sistem yang lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada sektor perniagaan, ia memberi kesan langsung kepada pengguna kerana ditanggung terus oleh rakyat.

“SST membolehkan kerajaan memilih sektor mana yang perlu dikenakan cukai. Contohnya, apabila cukai dikenakan ke atas sektor kecantikan dan penjagaan diri, ramai yang membantah dan kerajaan bertindak segera memberi pengecualian. Jika menggunakan GST, proses pengecualian lebih rumit kerana mekanismenya yang kompleks,” jelas beliau semasa sesi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed di Invest ASEAN-Malaysia Conference 2025.

Tambahnya, pelaksanaan semula GST juga tidak praktikal dalam masa terdekat kerana banyak syarikat tidak lagi mempunyai sistem bersedia selepas pemansuhan cukai itu pada 2018.

“Sudah hampir tujuh tahun GST dimansuhkan. Untuk menghidupkan semula sistem itu, ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun, dan kita tidak punya ruang masa itu. Negara ada keutamaan lain yang lebih mendesak buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menegaskan bahawa GST tidak akan diperkenalkan semula selagi gaji minimum belum mencapai RM4,000 sebulan.

“Cukai seperti GST hanya sesuai apabila pendapatan rakyat meningkat. Fokus kita sekarang ialah menaikkan pendapatan rakyat terlebih dahulu melalui Ekonomi MADANI,” kata Amir Hamzah.

Beliau menegaskan bahawa SST yang telah wujud sejak tahun 1970-an masih relevan dan mempunyai keupayaan untuk disesuaikan dengan keperluan semasa tanpa membebankan rakyat secara meluas.