KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak disenaraikan sebagai jemputan ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Khamis ini berikutan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, susulan peletakan jawatan tersebut, hanya ahli Majlis Tertinggi PN yang masih memegang jawatan dipanggil untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
Menurut beliau, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini juga tidak dimasukkan dalam senarai kehadiran.
“Pandangan undang-undang yang kami terima menyatakan bahawa peletakan jawatan itu telah berkuat kuasa dari segi perundangan bermula 1 Januari lalu.
“Namun begitu, perkara ini tetap perlu dibentangkan kepada Majlis Tertinggi PN untuk mendapatkan pengesahan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS, hari ini.
Terdahulu, surat jemputan mesyuarat luar biasa PN yang diedarkan semalam mencetuskan reaksi beberapa pemimpin BERSATU yang mempersoalkan ketiadaan nama Muhyiddin dalam senarai jemputan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan bahawa Muhyiddin telah menghantar surat bertarikh 30 Disember 2025 kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bagi memaklumkan keputusan peletakan jawatan tersebut.
Katanya, mesyuarat luar biasa itu akan menumpukan kepada tiga perkara utama iaitu pemilihan pengerusi mesyuarat, pembentangan dan pertimbangan peletakan jawatan Muhyiddin serta pelantikan Pengerusi PN yang baharu.
“Sekiranya Majlis Tertinggi PN meluluskan peletakan jawatan itu, maka langkah seterusnya ialah melantik Pengerusi PN yang baharu.
“Pengerusi baharu itu kemudiannya berhak melantik atau mengekalkan jawatan seperti setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan timbalan setiausaha agung,” katanya.
Bagaimanapun, jika mesyuarat berkenaan menolak peletakan jawatan tersebut, Takiyuddin berkata, Muhyiddin perlu meneruskan tugasnya sebagai Pengerusi PN.
Beliau turut menjelaskan kehadiran Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke mesyuarat itu adalah atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi PN mewakili parti tersebut.
“Oleh kerana Presiden BERSATU memegang jawatan Pengerusi PN, maka Timbalan Presiden BERSATU dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN,” katanya.