Pelantikan menteri tidak wajar dipersoal, prerogatif Perdana Menteri – Akmal Saleh

Oleh ABDULLAH HAMID

SHAH ALAM: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa pelantikan anggota Jemaah Menteri merupakan hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Menurut beliau, Perdana Menteri berhak menentukan siapa yang layak menganggotai Kabinet termasuk individu yang bukan wakil rakyat, sekiranya diyakini mampu memikul tanggungjawab tersebut dengan baik.

Akmal berkata, barisan menteri yang dilantik mencerminkan hala tuju serta visi Perdana Menteri dalam menerajui pentadbiran negara, justeru keputusan itu perlu dihormati.

“Siapa yang dipilih menjadi menteri itu adalah gambaran kepimpinan Perdana Menteri sendiri. Tidak timbul soal untuk mempertikaikannya kerana Kabinet itu ‘wajah’ beliau dalam mentadbir negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan bahawa prestasi menteri akan dinilai oleh rakyat, dan kegagalan melaksanakan tugas dengan berkesan akan memberi kesan kepada sokongan pengundi terhadap parti mereka.

“Jika menteri gagal menjalankan amanah atau tidak berkualiti, rakyat akan menghukum melalui peti undi,” katanya.

Dalam masa sama, Akmal menasihatkan menteri agar tidak melupakan janji yang dibuat sebelum memegang jawatan dan memberi keutamaan sepenuhnya kepada kepentingan rakyat.

“Masyarakat boleh menilai sama ada seseorang itu benar-benar bekerja atau sekadar bercakap. Rakyat hari ini tidak mudah diperdaya,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada menteri yang dilantik, namun menegaskan jawatan tersebut menuntut komitmen tinggi, pematuhan undang-undang serta kepekaan terhadap sensitiviti rakyat.

“Jawatan menteri bukan untuk bersuka ria. Jika melanggar undang-undang dan Perlembagaan, jangan terkejut jika hanya sepenggal sahaja memegang jawatan,” katanya.