Pelancong asing biasanya masuk hutan dan mendaki Gunung Tahan, lelaki Belanda ini pula teruja pergi masjid.
“Saya datang ke masjid ini kerana teruja mendengar panggilan (azan) menunaikan ibadat (solat),” kata Rutger seorang pelancong dari Belanda di Kuala Tahan di sini.
Rutger yang berkunjung ke hutan tropika Taman Negara menginap di sebuah pusat inap di situ kerap kali terdengar azan menyeru umat Islam menunaikan solat di Masjid Kampung Kuala Tahan.
Senario itu menyentuh kalbunya untuk mengetahui selok-belok agama Islam serta bagaimana solat dilaksanakan di masjid selepas waktu azan.
Mat Salih itu juga berpeluang menyertai program masak bubur asyura sekali gus menyelami budaya penduduk Melayu Kuala Tahan bergotong-royong menyiapkan makanan tersebut.
“Saya teruja melihat penduduk di sini bekerjasama menyiapkan perencah makanan ini dan bergilir-gilir pula sesana lelaki dan wanita memasak bubur asyura.
“Saya diberi peluang mengacau bubur asyura yang sedang dimasak bersama mereka dan pengalaman ini cukup indah dan menarik sukar dilupakan apabila kembali ke negara saya kelak,” katanya di Masjid Kuala Tahan di sini.
Menurut Rutger, kunjungan singkat di pusat peranginan itu membuatkan dia cukup damai menikmati keindahan hutan tropika dan rencah kehidupan masyarakat Melayu di situ selain berpeluang mengenali al-Quran dan panduan kehidupan berasaskan Islam yang diberikan penjelasan oleh imam di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Tahan, Abd. Jalil Abdul Rahman berkata, sepanjang program memasak bubur asyura pelancong Belanda itu menunjukkan minat mendalam terhadap budaya orang Melayu lebih-lebih lagi konsep gotong-royong melibatkan ahli kariah masjid terbabit.
“Kebiasaannya, pelancong luar banyak menumpukan aktiviti rekreasi dan riadah di kawasan hutan, gua, mendaki gunung Tahan dan sungai malahan jarang singgah di masjid berbanding Rutger yang datang melihat program memasak bubur asyura, berbual dengan penduduk dan ingin tahu cara memasak sambil membantu mengacau makanan ini yang sedang dimasak dalam kawah.
“Dia (Rutger) juga menunjukkan minat bersungguh dengan untuk melihat sendiri aktiviti keagamaan (Islam), sehingga dia banyak bertanya dan banyak bertukar pandangan dengan saya dan imam serta ahli jawatankuasa pengurusan masjid ini,” katanya.
Ujarnya, JPKK dan pihak pengurusan masjid sedia menerima kehadiran semua pelancong luar yang berhasrat mendalami cara hidup penduduk tempatan termasuk makanan serta aktviti di rumah ibadat itu sebagai salah satu aktiviti merancakkan sektor ekopelancongan di Taman Negara.