Realtime website trackingweb stats

Pelajar Palestin cemerlang tidak sempat balik Malaysia, pensyarah ini dedah Sulaiman bukan calang-calang pemuda

Oleh FATIN AQILAH

Maut ditembak oleh tentera Israel ketika dalam perjalanan pulang dari Gaza ke Malaysia. Itu nasib dialami seorang pelajar Palestin, Sulaiman J.S. Abuanza baru-baru ini.

Pelajar cemerlang Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) itu pada awalnya telah kembali melawat keluarganya di Gaza semasa cuti semester lalu.

Dalam masa sama, Sulaiman melakukan pembedahan lasik untuk matanya di sana.

Pensyarahnya, Osaid Abdaljawwad bercerita tragedi berdarah yang menimpa pelajarnya itu adalah sewaktu Sulaiman melalui laluan di Mesir pada 7 Oktober lalu.

Penuntut tahun kedua Sarjana Muda Komputer (Kepujian) itu dibunuh oleh penembak tepat Israel di kawasan berdekatan sempadan antara Gaza dan tanah yang dikawal oleh tentera rejim tersebut.

“Sulaiman merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan berbakat dengan CGPA 3.65, di samping kecemerlangan akademiknya yang luar biasa dalam kalangan rakan sebayanya dia menyumbang kepada banyak projek sosial di universiti termasuk projek perniagaan sosial (kawasan Niche AIU).

“Rakan sekelasnya menyifatkan dia sebagai seorang yang suka membantu dan menyokong dan dia pernah menawarkan sebarang bantuan kepada rakan sekelasnya,” lapor Kosmo!, 17 Oktober.

Osaid menambah Sulaiman menyimpan negara tercinta Palestin di dalam hatinya sepanjang masa.

“Bersama-sama dengan rakan senegaranya, dia bekerja keras untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu Palestin di kalangan pelajar universiti.

“Sulaiman juga menganjurkan banyak acara dan program tentang Palestin di kampus AIU,” ceritanya lagi.

Sulaiman antara ribuan warga Palestin yang dibunuh kejam oleh tentera rejim Zionis Israel sejak pengeboman tanpa henti pengganas itu bermula 7 Oktober.

Krisis kemanusiaan yang dahsyat sedang melanda Gaza yang dianggap penjara terbesar di dunia apabila bekalan elektrik telah terputus manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan habis.

Keganasan Israel menyaksikan sekurang-kurangnya 3,500 penduduk Palestin maut manakala kira-kira 13,300 lagi cedera setakat 18 Oktober.

Keadaan makin teruk di Gaza apabila pintu sempadan Gaza yang dikawal Mesir masih tidak dibuka sekali gus menghalang penyaluran bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada penduduk Palestin.

Baca:

Pernah menyewa bersama tapi tergamak tikam kawan 40 kali, ini bahana bila cemburu dah meluap

Sering bermimpi perkara-perkara sebegini, badan anda mungkin dihuni jin atau saka

Jambatan Marang payah nak bina, tapak bekas IPD berhantu angkara bomoh, seram dengar cerita pesara tentera ini