Pejabat Baharu NSRC Dilancar Januari 2026, Kerajaan Percepat Usaha Selamatkan Mangsa Penipuan

Oleh SHAZLIN AZIZ

PUTRAJAYA: Operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bakal diperkukuh dengan pelancaran pejabat baharu di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari 2026.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu merupakan antara inisiatif kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengendalian kes penipuan dalam talian, khususnya dalam usaha menyelamatkan dan memulangkan semula wang mangsa sekiranya laporan dibuat dengan segera.

Menurut beliau, NSRC yang sebelum ini beroperasi di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, kini telah dipindahkan sepenuhnya ke Menara 2 MCMC bagi membolehkan operasi dijalankan secara lebih cekap dan bersepadu.

“Pemindahan ini membolehkan NSRC beroperasi dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Fahmi berkata penempatan baharu itu turut meningkatkan keupayaan operasi pusat berkenaan apabila NSRC kini beroperasi selama 24 jam sehari dengan sokongan jumlah petugas yang lebih ramai.

Beliau menjelaskan, ketika mula ditubuhkan pada 12 Oktober 2022, NSRC yang boleh dihubungi melalui talian 997 hanya beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan menerima sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari.

Bagaimanapun, sejak berpindah ke Menara 2 MCMC pada 17 November lalu, jumlah panggilan harian meningkat kepada antara 500 hingga 700 panggilan, mencerminkan peranan NSRC sebagai saluran utama rakyat mendapatkan bantuan segera dalam kes penipuan kewangan.

Fahmi turut menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan agar segera menghubungi NSRC dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas kejadian bagi meningkatkan peluang menyelamatkan wang yang telah dipindahkan.

“Sebarang kelewatan boleh menyukarkan usaha membekukan akaun dan menjejak aliran wang,” katanya.

NSRC yang berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri, jelas Fahmi, akan terus diperkasakan melalui kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bank-bank komersial yang kini ditempatkan bersama di pusat operasi baharu itu.

Beliau berkata analisis awal mendapati kegiatan penipuan dalam talian berlaku mengikut corak masa tertentu, manakala kelewatan membuat laporan dikenal pasti sebagai faktor utama yang menghalang usaha menyelamatkan dana mangsa.

Kerajaan, katanya, tidak membezakan mangsa berdasarkan kaedah penipuan sama ada melalui pelaburan palsu atau taktik lain kerana semua bentuk penipuan dianggap sebagai jenayah di sisi undang-undang.

Tambah Fahmi, beberapa peruntukan undang-undang telah dipinda bagi memperjelaskan takrif penipuan dalam talian dan memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil tanpa mengira persepsi terhadap mangsa.