Pas mahu terajui PN

Oleh Admin 05

KUALA LUMPUR: PAS memberi isyarat bahawa parti itu berkemungkinan mencalonkan pemimpinnya sendiri untuk mengisi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) susulan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, jawatan tertinggi dalam gabungan itu tidak semestinya disandang oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pemilihan Pengerusi PN yang baharu akan tertumpu kepada individu yang mampu menyatukan serta menggerakkan kekuatan parti-parti komponen dalam gabungan tersebut.

Menurut beliau, Muhyiddin telah memaklumkan hasrat untuk melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“Saya percaya PAS akan mengemukakan calon daripada parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi baharu.

“Namun, ia tidak semestinya Presiden parti, sebaliknya seorang tokoh yang diyakini mampu menggembleng kekuatan semua parti dalam PN,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dilaporkan telah mengumumkan pengundurannya sebagai Pengerusi PN, satu keputusan yang kemudiannya disahkan oleh beberapa pemimpin kanan BERSATU termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata PN dijangka melakukan penstrukturan semula organisasi bagi memperkemas gerak kerja gabungan itu, khususnya dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau turut menyifatkan langkah Muhyiddin berundur sebagai satu keputusan yang tepat dan berwawasan, selari dengan keperluan PN untuk membina momentum baharu.

“Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sikap keterbukaan beliau. Selamat menjalankan tugas kepada Pengerusi PN yang baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.