Realtime website trackingweb stats

Pakej semadi kucing siap kafan dan baca talkin, penyedia servis dikecam tunggang agama next level

Oleh ADINDA

Pakej semadi kucing siap kafan dan baca talkin, penyedia servis dikecam tunggang agama next level. Kematian haiwan peliharaan kesayangan merupakan kehilangan besar buat pemiliknya kerana ia sudah dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga sendiri.

Justeru mengebumikan bangkai di sekitar kawasan rumah secara ringkas sudah menjadi amalan sebagai penghormatan terakhir kepada haiwan itu.

Namun baru-baru ini sebuah syarikat yang muncul menawarkan khidmat pengebumian haiwan peliharaan dikecam ramai dan dituduh cuba menunggang agama.

Mana tidaknya, dengan menawarkan perkhidmatan mengebumikan bangkai haiwan mengikut ‘kaedah Islam’ bagi pemilik Muslim, mereka mengenakan bayaran tinggi bermula RM2,100 hingga RM3,800 bagi pakej premium.

Caj itu merangkumi pakej kafan, doa bersama tapak kubur.

Ciapan asal yang dibuatnya di halaman Twitter.

Menerusi perkongsian di Twitter tentang servis ‘mesra Muslim’ itu, individu berkenaan menunjukkan katalog harga pakej Islamic burial atau ‘pengebumian Islam’.

Perkhidmatan asas yang disediakan adalah tapak kubur seluas 60×90 sentimeter (2×3 kaki), servis menanam, batu nisan dan sijil mati.

Bagi pakej premium pula, bacaan doa, majlis pengebumian, mandi ‘jenazah’, botol untuk bulu, gambar kenangan, patung tanah 3D dan video kenangan disediakan khusus kepada pemilik.

Malah, pemilik yang ingin menanam di rumah juga boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut dan kos mengikut servis yang diingini.

Menurut individu yang membangkitkan kebimbangannya tentang hal ltu, tindakan mengebumikan bangkai haiwan seperti manusia tidak dianggap sebagai tanda sayang sebaliknya menonjolkan kejahilan dalam agama.

“Harap syarikat yang buat benda ni pergilah mengaji balik dan duduk istighfar. Kucing bukan makhluk mukallaf nak kena dimandi, kafan, tahlil, talqin dan sebagainya.

“Ini dua dalam satu terus, tunggang kucing sekali gus tunggang agama… parah,” ciapnya ringkas.

Pun begitu, dia turut mendedahkan bahawa syarikat tersebut bukanlah milik orang Islam.

Pencinta haiwan sanggup berbelanja tinggi untuk keselesaan dan rawatan.

Namun dia bimbang jika ada umat Islam yang kurang berpengetahuan akan terjebak dengan perkara karut tersebut.

“Dikatakan syarikat yang menawarkan khidmat ini bukan dipunyai oleh Muslim pun.

“Tapi tak mustahil Muslim yang kurang berpengetahuan akan terjebak pada benda karut sebegini,” luahnya lagi.

Iyalah, bagi kebanyakan pencinta haiwan, pelbagai perkara sanggup dilakukan termasuk mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk memberi keselesaan, makanan mahupun rawatan.

Apabila dah taksub kononnya semua nak Islamik. Inilah padahnya! NETIZEN

Maka tidak hairanlah apabila perkhidmatan pengebumian haiwan diwujudkan dan mendapat permintaan tinggi.

Meninjau ke laman sesawang syarikat tersebut, perkhidmatan berkenaan diperkenalkan sebagai menzahirkan rasa cinta yang mendalam terhadap haiwan dan keinginan untuk mencipta ruang yang bermakna.

Pada masa sama untuk mengubah ‘cara’ pemilik mengucapkan selamat tinggal kepada teman kesayangan mereka buat selama-lamanya.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya terkejut dengan kewujudan servis tersebut.

Kebanyakan warga maya berasa bimbang dengan perkhidmatan berunsurkan Islamik seperti ini.

“Ini semua kerja gila nak buat duit, tunggang agama. Kucing pun kena sign up khairat kematian sekarang ni… kos premium tu boleh support makan kucing 10 ekor selama dua tahun

“Jangan lepas ni ada pakej azan iqamah anak kucing baru lahir.

“Apabila dah taksub kononnya semua nak Islamik. Inilah padahnya! Sekarang pasir kucing pun dah letak tanda ‘halal’ sebab ramai pembeli kat luar sana, semua bodoh dan diperbodohkan.

“Nasiblah siapa yang jahil tu. Sekarang zaman orang-orang jahil kena ngap (tipu) dengan orang tamak,” ujar beberapa netizen.

Baca:

Tindakan cekap ketua balai polis ini jadi contoh untuk anak buah, PDRM pun dipuji ramai

Influencer Rusia mati muda di Malaysia, rupanya ini yang dia makan buat kita fikir dua kali

Objek dikesan terbang mirip UFO, ramai pula yang nampak di lokasi berbeza