Realtime website trackingweb stats

Padah diperdaya ‘LHDN’, tak beritahu awal suami, wanita lesap hampir RM120,000

Oleh AHMAD ISMAIL

Seorang wanita berputih mata apabila hampir RM120,000 lesap selepas diperdaya penjenayah yang menyamar sebagai agensi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

Jumlah kerugian itu merangkumi wang simpanan peribadi, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan hasil gadaian barang kemas.

Mangsa sindiket ‘phone scam’ yang berusia 48 tahun itu merupakan peniaga di Teluk Intan, Perak.

Lebih menghairankan, wanita malang berkenaan hanya memberitahu suaminya selepas memindahkankan kesemua wang simpanan miliknya dan wang hasil gadaian barang kemas itu!

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai peniaga berhubung kejadian itu, di Teluk Intan pada jam 1.49 petang, 19 September lalu.

Berdasarkan siasatan awal, jelasnya, mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri kononnya daripada LHDN dan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM58,982.

Beliau berkata, mangsa kemudian menafikan perkara itu sebelum panggilan tersebut kononnya disambung kepada individu lain yang mendakwa sebagai ‘Koperal Iskandar’.

“Mangsa diminta untuk membuat laporan polis secara atas talian kerana nama mangsa kononnya telah disalahgunakan oleh seorang lelaki yang bernama ‘Wong Bing Soon’ dan menyatakan mangsa telah bersubahat bersama lelaki itu dalam menjalankan perniagaan haram seperti penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

“Sebanyak RM98,000 (kononnya diperlukan) bagi tujuan siasatan pihak polis dan wang mangsa dikatakan akan dikembalikan setelah siasatan selesai dijalankan.

“Seterusnya, mangsa disambungkan panggilan telefon kepada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Redzwan’ dan telah menyoal siasat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 September.

Adnan berkata suspek mendakwa mangsa akan dikenakan hukuman gantung dan 15 sebatan kerana terlibat dalam kes jenayah berat.

Menurutya ekoran itu, wanita itu telah diminta untuk melaporkan diri pada jam 9 pagi, 12 tengah hari, 3 petang, 5 petang dan 9 malam melalui aplikasi Whatsapp pada nombor telefon yang tidak dikenali.

Ujarnya mangsa telah menerima panggilan telefon daripada ‘Sarjan Redzwan’ dan meminta mangsa untuk mengisytiharkan semua aset miliknya kepada pemanggil itu pada jam 11.05 pagi, 15 September lepas.

Menurut Ahmad Adnan, mangsa kemudiannya menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai ‘Datuk Sac Amirul’ sebelum meminta wanita itu untuk mengambil gambar kad akaun bank milik suaminya dan menghantar kepada suspek.

“Pada hari yang sama juga, mangsa telah mengeluarkan wang dari akaun ASB sebanyak RM21,500 dan telah memasukkan wang tersebut ke dalam satu akaun bank di atas nama ‘Rokih’.

“Sebanyak tujuh kali transaksi wang ke atas akaun bank yang sama telah dilakukan oleh mangsa.

“Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada ‘Datuk SAC Amirul’ dan mengarahkan mangsa untuk menggadaikan barang kemas miliknya pada jam 1.05 petang, pada 18 September lalu.

“Mangsa telah mengikut arahan tersebut dengan menggadaikan barang kemas milik mangsa. Hasil gadaian barang kemas milik mangsa tersebut bernilai RM97,380,” katanya.

Jelasnya, mangsa telah telah memindahkankan kesemua wang simpanan miliknya dan wang hasil gadaian barang kemas itu kepada tiga akaun bank berbeza pada tarikh 14 sehingga 18 September dengan jumlah RM118,880.

Adnan berkata, mangsa telah menceritakan perkara itu kepada suaminya kerana takut dan bimbang susulan insiden itu pada jam 10 malam, 18 September.

Tambahnya, suami mangsa telah menasihatkan isterinya untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki perkara itu palsu dan ia adalah perbuatan ‘scammer’.

Baca:

Kastam kantoikan wanita seludup ular berbisa, lipan gergasi, cicak dalam coli dan pakaian dalam

Sekarang baru tahu beza fungsi antara aircond inverter dan bukan inverter, patutlah bil elektrik orang lain jimat

Dah ketagih 3 tahun, lelaki ini suka makan dan minum air simen semasa bekerja