Realtime website trackingweb stats

Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai tanpa pengumuman

Oleh ADINDA

Selepas didesak agar Dewan Rakyat membuat keputusan mengenai Ordinan Darurat melalui perbahasan dan undian, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan keputusan yang mengejutkan iaitu kerajaan telah membatalkan ordinan tersebut.

Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang, yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.

Sebilangan anggota parlimen pembangkang mengatakan peraturan darurat harus dibatalkan melalui Parlimen sebagaimana yang dikehendaki oleh Fasal 150 (3).

Setakat jam 11.45 pagi hari ini, tidak ada warta baru yang dikeluarkan di laman web Jabatan Peguam Negara mengenai pembatalan peraturan tersebut.

Sidang khas Dewan Rakyat kecoh apabila dipersoal tindakan pembatalan ordinan darurat dibuat sejak 21 Julai tanpa sebarang pengumuman daripada kerajaan.

Setelah banyak tunjuk perasaan ahli parlimen pembangkang, Takiyuddin mengatakan keputusan telah dibuat pada 21 Julai lalu, iaitu mesyuarat Kabinet terakhir.

Speaker telah menolak usul yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga MP Bruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang meminta perintah darurat dibentang, dibahas dan diundi dalam sidang ini.

Ketika Ngeh membuat rayuan agar usulnya yang ditolak dinilai semula oleh Dewan agar ia diterima balik, Takiyuddin bangun memaklumkan Perintah Darurat tidak akan disambung selepas ia tamat 31 Julai ini.

Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.